
faz
6 tahun
Sakit kepala sebelah kanan saya ini seriuskah?
Docter,saya ingin bertanya tentang sakit kepala. Minggu ini saya kerap sakit kepala. Tetapi sakit kepala cuma pada sebelah kanan. Saya berpeluh-peluh dan mual. Adakah ini serius?

6 tahun
Hai. Selamat sejahtera. Terima kasih untuk soalan anda.
Sakit kepala kronik ialah apabila seseorang itu mengalami serangan sakit kepala lebih dari 15 kali sebulan atau berterusan sehingga 3 bulan. 2 punca utama sakit kepala kronik ialah migraine dan tension headache. Tension headache lebih banyak diadukan berbanding dengan migraine.
Migraine ialah sakit kepala di sebelah kepala sahaja, dan bersifat berdenyut-denyut. Pesakit akan mengadu sensitif terhadap cahaya dan bunyi, dan berehat di dalam bilik gelap boleh melegakan sakit kepala. Mual dan muntah jugak antara simptom lain. Terdapat dua jenis migraine, iaitu migraine dengan aura dan migraine tanpa aura. Kebanyakan kes migraine ialah tanpa aura. Aura ialah satu set simptom yang menyerang sebelum migraine, antaranya ialah melihat garisan zigzag, bintik-bintik, rasa kebas di muka dan badan, penglihatan terganggu dan pergerakan badan yang tidak terkawal.
Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang mendapat migraine. Namun faktor-faktor ini bergantung kepada individu. Antara faktornya ialah mengambil kaffein, keju, merokok, minum alkohol, panik, mengambil pil perancang dan juga senaman. Dengan menjauhi semua faktor di atas, seseorang yang mempunyai migraine boleh mengurangkan serangan migraine pada masa hadapan. Anda juga harus mengurus tekanan dan stress dengan elok untuk mengelakkan serangan migraine.
Sekiranya sakit kepala gagal dikawal dengan tidur dan rehat, ubat tahan sakit seperti paracetamol boleh digunakan. Sila bercakap dengan doktor untuk mengetahui dengan lebih lanjut apakah rawatan yang sesuai untuk migraine.

6 tahun
Hi. Terima kasih atas soalan tersebut.
Terdapat tiga jenis sakit kepala yang utama iaitu migrain, sakit kepala tension dan sakit kepala cluster. Sakit kepala tension kebiasaannya dirasakan pada bahagian belakang leher dan kepala. Sakit kepala bermula dengan perlahan dan tahap sakit adalah sederhana. Kebiasaannya, sakit kepala adalah pada kedua-dua belah kepala dan terasa seperti kepala dililit ketat. Selain itu, terdapat ketegangan pada bahagian kulit kepala dan leher.
Sakit kepala tension boleh berlaku dalam beberapa episod ataupun kronik. Jika berlaku secara episod, ia bertahan dalam masa 15 hingga 30 minit, berlaku kurang dalam 15 hari sebulan dan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan. Sakit kepala tension kronik pula boleh bertahan selama beberapa jam. Ia dikira kronik jika bertahan untuk lebih daripada 15 hari dalam sebulan dan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan. Sakit kepala tension sukar dibezakan dengan migrain. Yang boleh membantu membezakan ialah ketiadaan simptom penglihatan.
Terdapat beberapa perkara yang boleh mencetuskan migrain seperti pengambilan alkohol, kafein, coklat, rokok, stres yang tinggi, kekurangan tidur mahupun perubahan hormon ketika haid. Sakit kepala kluster pula kebiasaannya berlaku pada sebelah kepala sahaja dengan sakit pada keliling mata ataupun dahi. Waktu sakit kepala adalah pada waktu yang sama setiap hari dan boleh mengejutkan dari tidur selepas 2 jam. Ia boleh bertahan daripada 15 minit sehingga 3 jam. Saya sarankan agar anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan merperbaiki rutin harian dengan mengelakkan pencetus sakit kepala.

6 tahun
Terima kasih atas persoalan anda. Adalah penting untuk mengenal pasti jenis sakit kepala yang anda alami. Pertama terdapat sakit kepala yang disebabkan oleh ketengangan ataupun stres, ini adalah jenis yang paling biasa di kalangan orang dewasa dan remaja. Jenis sakit kepala ini boleh menyebabkan sakit ringan dan sederhana. Ia datang dan pergi dari masa ke masa. Mereka biasanya tidak mempunyai gejala lain. Anda boleh merawat jenis sakit kepala ini dengan ubat NSAIDs seperti aspirin.
Kedua, migrain juga boleh menyebabkan sakit kepala yang sengit yang sering digambarkan sebagai berdebar, sakit berdenyut. Sakit kepala jenis ini boleh berlangsung dari 4 jam hingga 3 hari dan biasanya berlaku satu hingga empat kali sebulan. Bersama-sama dengan rasa sakit, terdapat simptom yang lain, seperti sensitiviti terhadap cahaya, bunyi bising, atau bau, mual atau muntah, kehilangan nafsu makan dan sakit perut. Adalah penting untuk mengelakkan pencetus yang boleh menyebabkan migrain.
Selain itu, terdapat juga sakit kepala kluster yang merupakan jenis sakit kepala yang paling teruk. Ia menyebabkan sakit kepala yang teruk, sakit yang menusuk di bahagian belakang atau sekitar satu mata. Ia biasanya berdenyut dan rasa sakit boleh menjadi sangat buruk sehingga kebanyakan orang dengan sakit kepala kluster tidak boleh duduk diam. Sakit kepala kluster juga boleh menyebabkan kelopak mata menggelembung, mata merah dan lubang hidung di sebelah yang terkena menjadi tersumbat.
Anda dinasihatkan untuk berunding dengan doktor dan mengetahui mengenai keadaan anda supaya anda dapat merawat keadaan anda dengan berkesan.