
Julia
6 tahun
Saya menghidap diabetes, muncul tompok merah putih dan kulit mengelupas di celah jari
Salam doktor. Saya dah 2 tahun menghidap diabetes dan sekarang masih lagi makan ubat-ubat diabetik yang doktor bekalkan. Baru-baru ini saya perasan yang celah-celah jari saya ada macam tompok-tompok merah putih, kulit mengelupas. Apa ya tu doktor?

6 tahun
Salam sejahtera.
Penyakit kencing manis akan melemahkan sistem pertahanan badan pesakit. Oleh itu, pesakit kencing manis terutamanya mereka yang tidak mengawal paras gula darah dengan baik mudah menghidap jangkitan seperti jangkitan kulit.
Terdapat pelbagai kondisi yang boleh menyebabkan penyakit kulit yang digambarkan oleh anda di atas. Antara punca-punca tersebut termasuk alahan kulit, ekzema dan jangkitan. Berdasarkan sejarah anda, anda berkemungkinan menghidap jangkitan kulat di celah-celah jari anda. Kulat suka dengan tempat yang gelap dan basah. Oleh itu, jika tangan anda selalu berpeluh atau kerja anda melibatkan pendedahan kerap dengan air, anda mempunyai risiko tinggi untuk menghidap jangkitan kulat.
Anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan. Jangkitan kulat pada pesakit kencing manis boleh merebak. Jangkitan kulat pada kulit biasanya dirawat dengan ubat sapu antikulat. Ubat sapu ini datang dalam pelbagai bentuk seperti krim dan cecair. Ubatan serbuk boleh digunakan untuk bahagian yang selalu lembap seperti kaki dan tangan jika kerap memakai sarung tangan.
Gunakan ubat seperti yang telah dinasihatkan oleh doktor. Untuk mencegah jangkitan kulat, pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan diri dan pakai pakaian yang longgar dan berudara.