
Sulit
4 tahun
Senak dan Kembung Perut
Saya wanita berusia 25 tahun. Untuk makluman, saya rasa senak dan kembung antara dada dan pusat (betul betul dekat bahagian tengah tulang dada). Sudah seminggu, tetapi senak dan kembung tidak berterusan. Ianya hanya hadir sekejap-sekejap sahaja (dua atau tiga kali sehari). Seperti angin tersekat di dada, tetapi saya kurang sendawa atau membuang angin. Adakah ianya akan lama? Apa masalahnya ya doktor? Terima kasih.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Hai! Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang anda hadapi iaitu rasa senak dan kembung perut. Untuk makluman anda, masalah ini boleh berpunca oleh pelbagai kondisi kesihatan, antaranya ialah:
Sayur-sayuran Cruciferous: Sayur-sayuran cruciferous tertentu mengandungi gula kompleks yang dipanggil raffinose yang menyebabkan gas berlebihan semasa pencernaan dan mencetuskan perut kembung. Sayur-sayuran yang tergolong dalam kumpulan ini termasuk brokoli, kubis, bak choi dan kale. Makanan ini berkhasiat jadi anda tidak perlu mengelakkannya. Namun saiz hidangan ini haruslah dikurangkan dan dimasak sepenuhnya.
Makan terlalu banyak atau terlalu cepat: Tabiat makan terlalu cepat menyebabkan anda tertelan lebih banyak udara dan menyebabkan perut kembung
Serat (fibre) yang terlalu banyak atau tidak cukup: Sistem pencernaan memerlukan serat untuk berfungsi dengan baik dan kekurangan serat boleh mengakibatkan masalah sembelit dan seterusnya mengakibatkan perut kembung. Jika anda mengalami sembelit, anda perlu tingkatkan serat pemakanan anda secara beransur-ansur kerana terlalu banyak serat dalam diet boleh mengakibatkan gas berlebihan dan menyebabkan gejala kembung.
Tekanan atau kebimbangan: Otak boleh mempengaruhi sistem pencernaan. Apabila anda merasa tertekan atau cemas, anda mungkin turut mengalami gangguan pencernaan seperti sakit perut, kembung, sembelit, cirit-birit, dan rasa mual.
Intoleransi makanan: Sesetengah orang tidak mampu mencerna makanan tertentu, yang boleh mengakibatkan pengeluaran gas berlebihan, mual, dan cirit-birit. Contohnya makanan mengandungi laktosa seperti susu.
Penyakit radang usus: Kembung adalah gejala umum pada individu yang mengalami gangguan radang usus seperti IBS, penyakit Celiac dan penyakit Crohn.
Asid refluks: Ini berlaku apabila asid melimpah dari perut sehingga ke esofagus, dan biasanya menyebabkan loya, pedih ulu hati, dan perut kembung. Ia sering berlaku tidak lama selepas makan atau minum dalam kuantiti yang banyak.
PMS: Sebelum haid, ramai wanita mengalami kembung dan sakit perut
Kekurangan bakteria yang baik dalam sistem pencernaan: Bakteria baik membantu pencernaan. Kurangnya bakteria ini mengganggu penghadaman makanan dan menyebabkan gas berlebihan di dalam perut. Ini boleh disebabkan oleh penggunaan antibiotik yang membunuh bakteria baik ini sekaligus menjejaskan keseimbangan jumlah mereka di dalam usus.
Berdasarkan keterangan anda bahawa gejala ini berterusan sejak seminggu, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor di klinik atau hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan. Untuk mendapatkan rawatan, puncanya haruslah diketahui terlebih dahulu. Maklumat lanjut dan pemeriksaan susulan adalah diperlukan.
Sekiranya anda mempunyai pertanyaan tambahan, anda juga boleh klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor pakar kami secara peribadi. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih