Suyen
7 tahun
Sesak nafas hingga muntah muntah
Tadi baru sahaja saya pergi ke hospital kerana serangan asthma. Di berikan gas dua kali. Di benarkan pulang oleh dr. Namun bila sampai rumah. Sesak nafas datang balik hingga muntah muntah. Dada semakin ketat
7 tahun
Salam sejahtera dan terima kasih kerana sudi berkongsi masalah anda dengan kami. Sekiranya kita menganalisa semua aduan anda iaitu sesak nafas, dada ketat, batuk pun tidak berhenti, saya perpendapat yang anda sekarang sedang mengalami serangan asma yang serius. Serangan kali ini agak membimbangkan kerana gas pun tidak berkesan untuk melegakan simptom anda. Pada pendapat saya, anda harus kembali ke hospital tersebut dengan kadar yang segera. Jangan sama sekali pandang ringan serangan asma ini ia boleh mengancam nyawa anda jika anda tidak mendapat rawatan dalam masa terdekat.
Penyakit asma ini sebenarnya sebuah penyakit kronik yang menjejaskan paru-paru. Penyakit ini tidak boleh dihalang, tetapi jumlah serangan boleh dikawal. Cara untuk mengawalnya adalah untuk mengelakkan faktor-faktor pencetusnya. Faktor-faktor ini berbeza untuk setiap pesakit. Antara faktor yang penting adalah, pendedahan kepada asap rokok, jangkitan selesema, stress, senaman, pendedahan kepada udara sejuk dan reaksi alahan kepada debu, bunga, karpet, bulu haiwan, makanan dan lipas. Kita harus faham apabila pesakit asma ini terdedah kepada pencetusnnya, saluran ke paru-paru akan membengkak dan seterusnya menyempitkan saluran pernafasan.
Sila dapatkan rawatan segera bagi melegakan masalah anda ini.
7 tahun
Terima kasih atas soalan anda.
Dari kenyataan anda di atas, anda sedang mengalami kondisi asma yang tidak terkawal. Ini bermakna bahawa asma anda tidak dapat dikawal dengan ubatan yang sedia ada. Rawatan yang lebih intensif adalah diperlukan bagi anda. Asma yang tidak terkawal mempunyai banyak punca, antaranya termasuk regimen ubatan yang kurang sesuai serta pendedahan berterusan kepada bahan-bahan alahan seperti udara sejuk, habuk, bulu dan sebagainya. Keadaan anda masih susah walaupun telah diberi gas di jabatan kecemasan. Anda seharusnya pergi ke jabatan kecemasan semula secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
Serangan asma biasanya dirawat oleh ubat penyelamat seperti salbutamol. Salbutamol biasanya diambil melalui alat sedutan (pam) atau inhaler. Teknik yang betul adalah sangat penting untuk memastikan bahawa ubat sampai ke saluran pernafasan kecil untuk melegakan radang dan bengkak di dinding saluran pernafasan. Sekiranya penggunaan inhaler tidak berkesan, salbutamol akan diberikan melalui gas atau nebulizer. Ubatan steroid juga akan dibagi untuk mengelakkan serangan asma yang berterusan.
7 tahun
Selamat sejahtera. Berdasarkan kenyataan di atas, nampaknya serangan asma anda telah berulang. Saya sarankan anda kembali ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Sementara dalam perjalanan, teruskan penggunaan inhaler “reliever” bagi melegakan sesak nafas anda.
Anda patut mempunyai pelan rawatan asma bagi mengawal dan mengelakkan serangan asma. Dalam pelan ini, anda harus belajar untuk:
-Sentiasa prihatin terhadap simptom-simptom asma anda
-Pantau fungsi paru-paru menggunakan “peak-flow meter”
-Elakkan pencetus asma
-Kenali ubat-ubat pengawal jangka lama serta ubat-ubat “reliever”
-Kenal pasti bila asma terkawal dan bila bantuan diperlukan.
Sekiranya anda masih mengalami simptom-simptom walaupun telah mengikuti pelan anda, ubat yang digunakan mungkin perlu ditingkatkan atau diubah.




































