
Sulit
3 tahun
Young onset dementia
Saya wanita berumur awal 30-an, akhir2 ini saya sangat pelupa. Kadang2 rasa loss. Selalu tak ingat perkara2 yang biasa dilakukan. Tak dapat focus bila bekerja atau melakukan sesuatu perkara. Adakah ini simptom awal dementia? Bagaimana saya boleh dapat bantuan?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam sejahtera,
Terima kasih atas soalan anda.
Berdasarkan pertanyaan anda di atas, saya memahami bahawa anda berasa bimbang tentang masalah anda. Saya akan cuba untuk membantu anda.
Untuk makluman anda, Dementia merupakan suatu penyakit yang mengganggu fungsi otak, dan akan berlaku secara berterusan (progresif). Ianya menyebabkan kemerosotan fungsi mental sehingga mengganggu aktiviti harian seseorang.
Simptom-simptom yang dialami oleh pesakit dementia dibahagikan kepada tiga, iaitu:
- Kehilangan fungsi mental
- Pertukaran personaliti, emosi, dan tabiat
- Masalah dalam menjalani aktiviti seharian
Kehilangan Fungsi Mental
- Masalah memori adalah petanda yang paling jelas dalam pesakit dementia. Mudah lupa adalah biasa. Memori pertama yang akan hilang ialah yang paling baru terjadi. Sebagai contoh, seorang pesakit yang bermasalah dementia tidak boleh mengingati barang yang hendak dibeli apabila ke kedai. Pada masa yang sama, memori yang telah lama pula masih boleh diingati sehinggalah apabila dementia sudah terlalu teruk. Sesetengah pesakit boleh bercerita tentang zaman kanak-kanak mereka dengan lancar.
- Pesakit dementia juga boleh mengalami masalah bahasa dimana mereka menghadapi kesukaran memahami apa-apa maklumat yang disampaikan atau ditulis. Masalah konsentrasi juga boleh berlaku dalam pesakit dementia.
- Persekitaran yang baru boleh mendatangkan kekeliruan kepada pesakit dementia. Namun begitu, di kawasan yang dikenali dengan baik, pesakit-pesakit ini boleh menjalani aktiviti harian dengan elok.
- Pesakit dementia sukar mempelajari skil-skil baru , sebagai contoh, skil untuk menggunakan peralatan yang belum pernah diperolehi. Mereka juga mempunyai masalah dalam pemikiran, pengiraan, dan membuat keputusan.
Pertukaran Personaliti, Emosi, dan Tabiat
Pesakit dementia boleh bertukar menjadi cepat marah dan murung pada tahap awal penyakit. Apabila penyakit berlarutan, pertukaran personaliti mereka boleh menjadi semakin mencabar, di mana mereka boleh melakukan sesuatu yang lain daripada karakter sebelum. Mereka boleh bertukar menjadi agresif dan menyerang orang sekeliling, seperti penjaga mereka sendiri. Mereka juga boleh menjadi takut terhadap orang lain. Sesetengah pesakit dementia turut mengalami delusi ataupun halusinasi.
Masalah dalam Menjalani Aktiviti Harian
Sesetengah pesakit dementia akan mengabaikan kebersihan diri . Mereka boleh terlupa untuk mandi ataupun membasuh pakaian, selain tidak mengemas rumah dan memasak. Jadual pengambilan ubat juga boleh terjejas disebabkan masalah memori mereka.
Oleh itu, saya menyarankan anda supaya merujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan yang tepat. Anda boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapat maklumat serta rawatan yang lebih lanjut.
Saya berharap agar jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.
Klik di sini untuk bercakap dengan doktor