Rokok Dan Alkohol Membinasakan! Ini Yang Anda Perlu Tahu

Rokok Dan Alkohol: Kombinasi Bahayakan Kesihatan - DoctorOnCall

Rokok & Alkohol

Alkohol dan rokok merupakan dua jenis bahan yang boleh menyebabkan ketagihan serta menjejaskan kesihatan. Kombinasi keduanya? Tentulah lebih buruk. Di Malaysia, alkohol bukanlah satu ketagihan yang popular, namun ianya tetap wujud. Bagi tabiat rokok pula, walaupun telah banyak kajian telah membuktikan keburukannya kepada kesihatan tubuh badan manusia, namun masih ramai yang enggan dan sukar untuk meninggalkannya. Inilah kesan ketagihan.

Apa Ada Dengan Rokok?

Sebatang rokok mengandungi lebih daripada 4000 bahan kimia bertoksik yang berbahaya termasuklah arsenic, ammonia, benzene, formaldehyde dan pelbagai lagi kandungan lain. Kesemua bahan ini adalah racun kepada tubuh.  Selain ketagihan akibat kesan nikotin, keburukan merokok kepada tubuh termasuklah: 

  • Meningkatkan Risiko Penyakit Kardiovaskular

Merokok meningkatkan risiko penyakit darah tinggi, strok, penyakit jantung dans sebagainya. Bahan dalam rokok merosakkan integriti dan menyempitkan saluran darah darah. Aliran darah yang tidak lancar akibat keadaan ini menyebabkan kekurangan bekalan oksigen kepada organ-organ yang lain. 

  • Penyakit Paru-Paru

Partikel daripada rokok yang dihisap, diserap terus ke paru-paru. Bahan kimia yang terkandung merosakkan struktur organ pernafasan kita. Paru-paru bukan sahaja menjadi hitam, sel-sel organ ini juga terjejas, hasilnya pertukaran gas oksigen dan karbon monoksida tidak berlaku dengan baik. Racun daripada rokok juga meningkatkan risiko jangkitan kuman, keradangan dan kanser. Jangan terkejut, 87% kematian akibat kanser paru-paru adalah disebabkan rokok!

  • Penyakit Kanser

Selain kanser paru-paru, risiko kanser-kanser lain seperti mulut, hati, pankreas, buah pinggang, dan esofagus adalah lebih tinggi dalam kalangan perokok. Mungkin anda rasa tubuh anda sahaja yang terjejas. Tidak. Asap rokok yang dilepaskan turut menjejaskan orang sekeliling terutamanya mereka yang sering berada dekat dengan anda. 

Mengapa Alkohol Berbahaya?

Minuman alkohol sering disajikan ketika majlis keraian atau jika kita menonton drama luar negara, ia juga diambil untuk melempiaskan kesedihan. Hal ini adalah kerana, alkohol menyebabkan mabuk. Pengambilan alkohol dalam kuantiti yang banyak akan menghilangkan kewarasan dan paras sedar seseorang. 

Alkohol mengandungi etanol, iaitu kumpulan bahan yang boleh melambatkan fungsi otak. Alkohol juga boleh memberikan gejala kebergantungan dan ketagihan. Antara penyakit akibat alkohol adalah:  

  • Masalahan Kesihatan Mental

Kesan pengambilan alkohol kepada sistem saraf dan otak merupakan kesan buruk yang sering dilaporkan. Kebergantungan kepada alkohol menyebabkan seseorang sentiasa dalam kekeliruan, keresahan dan kebingunan, kecelaruan tingkahlaku dan fikiran, kemurungan, serta mempunyai kecenderungan untuk bunuh diri. 

  • Kegagalan Organ

Pengambilan minuman beralkohol dalam jumlah yang banyak boleh mengakibatkan kegagalan fungsi organ terutamanya hati. Hati sebagai organ nyah toksin dalam badan berfungsi memecahkan elemen alkohol yang diminum supaya boleh dikumuh. Pengambilan alkohol yang terlalu banyak dan kerap menjejaskan fungsi organ ini. Bahan kumuh hasil pecahan eleman alkohol tadi tidak dapat dinyahkan dengan baik sehingga merosakkan organ hati sendiri. 

Selain itu, kesan alkohol terhadap organ manusia seperti pankreas, esofagus, dan jantung juga boleh berlaku. Kesan alkohol terhadap paru paru pula mungkin berlaku namun lebih rendah berbanding rokok.

  • Masalah Hubungan Seksual

Alkohol boleh menyebabkan hormon testosteron dalam badan seorang lelaki berkurangan. Hormon ini penting untuk menghasilkan sperma yang berkualiti. Alkohol juga memberi kesan kepada alat kelamin lelaki. Seorang lelaki yang minum alkohol secara berlebihan boleh mengalami masalah ereksi dan ejakulasi seperti zakar sukar tegang danejakulasi pramatang.

Rokok Dan Alkohol Musibah Berganda

Mungkin anda tidak terbiasa ke kelab-kelab malam atau bar yang menghidangkan minuman beralkohol. Biasanya pelanggan akan minum serta merokok pada waktu yang sama. Jadi, sekiranya 2 bahan ini diambil bersama, apa akan terjadi? 

1. Alkohol adalah bahan menyebabkan depresi dan rokok pula bahan yang merangsang otak, kadangkala mereka tidak sedar berapa jumlah alkohol yang telah diminum kerana otak dirangsang secara berterusan oleh rokok. Hal ini menyebabkan mereka untuk terus minum dan minum sehingga mabuk.

2. Kombinasi alkohol dan rokok meningkatkan risiko penyakit kanser esofagus dan kerongkong. Hal ini dikatakan berlaku kerana bahan kimia dalam rokok yang terkumpul di tekak akan dilarutkan oleh alkohol dan kedua duanya akan mengakibatkan keradangan. Keradangan yang berpanjangan dan berulang akan meningkatkan risiko kanser. 

3. Kedua-duanya meningkatkan paras dopamin. Ya, benar dopamin adalah hormon yang baik untuk memberi kita rasa bahagia. Namun, sekiranya berlebihan, keseronokan itu akan bertukar menjadi ketagihan. Kedua-duanya akan menyokong antara satu sama lain untuk meneruskan tabiat buruk tersebut.

4. Nikotin mengubah tindak balas otak terhadap alkohol. Kalau sebelum ini anda hanya perlu dua hingga empat shot alkohol untuk rasa tenang dan seronok, dengan merokok anda mungkin memerlukan lebih banyak shot untuk merasai ketenangan tersebut. Ia berlaku kerana tindak balas otak untuk mengesan keupayaan alkohol telah diubahsuai oleh nikotin. Adakah anda bergantung kepada nikotin? Ketahui melalui kuiz ini!

5. Rokok memburukkan gejala hangover. Gejala muntah, pening, dan mabuk selepas minum alkohol dipanggil hangover. Ia berlaku kerana kandungan acetaldehyde yang tinggi di dalam arak. Anda juga perlu tahu bahawa acetaldehyde juga terkandung dalam rokok, apabila kandungan ini bergabung maka gejala hangover akan bertambah teruk dan menyusahkan orang sekeliling.

6. Tahukah anda, perokok yang selalu minum alkohol mempunyai peratusan sebanyak 51% kadar kematian akibat kesan nikotin berbanding perokok yang tidak minum alkohol. Hal ini terjadi akibat sistem imuniti badan yang semakin lemah disebabkan oleh alkohol, kemudian ditambah pula kesan bahaya nikotin dalam rokok.

7. Merokok dan minum alkohol juga mempercepatkan proses penuaan kulit dan otak. Satu kajian dilakukan mendapati kumpulan ini mempunyai 26-33% lebih kecenderungan untuk lebih cepat kelihatan tua berbanding mengamalkan satu tabiat sahaja. Fungsi otak juga turut terjejas, ini menjadikan mereka lebih cepat mendapat penyakit tua seperti nyanyuk.

Kesimpulannya, rokok dan alkohol adalah kombinasi yang amat buruk untuk kesihatan. Kedua-duanya mempunyai kesan sampingan yang berbeza dan sekiranya digabung, kesan-kesan ini akan bertambah teruk. Berhenti salah satu atau berhenti kedua-duanya, anda yang tentukan. Kedua-dua alkohol dan rokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah kesihatan dan keselamatan orang lain. Jika kesan rokok kepada perokok pasif adalah sesuatu yang telah lama dihujahkan. Jangan lupa kesan minum arak yang telah banyak meragut nyawa. Lihat sahaja berapa ramai mangsa yang kehilangan nyawa dan orang tersayang akibat kemalangan jiwa berpunca daripada pemandu mabuk. Oleh itu, sedar sebelum terlambat. Jauhi kedua-duanya sekarang. Sila rujuk kepada doktor untuk mengetahui cara-cara berhenti merokok.



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!




Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall