Kolesterol Tinggi

Penyebab Kolesterol Tinggi

Baca Soalan

Punca kolestrol tinggi

Kolesterol tinggi merupakan satu risiko utama yang boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti penyakit kardivaskular dan penyakit angin ahmar atau stroke. Kolesterol yang tinggi menyebabkan aterosklerosis di mana terkumpulnya plak-plak lemak di dalam saluran darah. Keadaan ini akan menyebabkan saluran darah menyempit atau tersumbat secara total. Akibatnya sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan organ penting seperti jantung dan otak tidak mendapat oksigen yang secukupnya.

Terdapat banyak jenis kolesterol, namun dua yang penting yang perlu diketahui ialah HDL dan LDL. HDL ialah High Density Lipoprotein dan digelar kolesterol baik manakala LDL ialah Low Density Lipoprotein dan digelar kolesterol tidak baik. LDL merupakan kolesterol yang menyebabkan arterosklerosis dan meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit kardiovaskular. HDL pula sebaliknya berfungsi dengan mengambil semula kolesterol LDL yang menyumbat saluran darah dan membawanya kembali ke hati. Ini sekaligus mencegah saluran darah tersumbat dan oleh itu kandungan kolesterol HDL yang lebih tinggi adalah lebih bagus.

Terdapat banyak punca kolesterol tinggi dan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Punca dari gaya hidup:

  • Pemakanan yang tidak sihat dan seimbang - diet yang tidak sihat adalah penyumbang utama kepada masalah kolesterol tinggi dalam badan. Antara makanan penyebab kolesterol adalah santan, keju, produk tenusu lemak penuh, daging merah, telur dan bermacam lagi. Kebanyakan dari lauk-pauk di malaysia menggunakan santan di dalam resepi mereka seperti nasi lemak dan kari, dan ini merupakan makanan pagi lazim bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Oleh itu tidak hairanlah penyakit kolesterol tinggi merupakan salah satu penyakit paling banyak di Malaysia.

  • Kurang aktiviti senaman - kesibukan bekerja merupakan salah satu alasan paling popular bagi mereka yang tidak meluangkan masa untuk melakukan aktiviti senaman. Namun dengan senaman mereka mampu mengurangkan banyak risiko penyakit kronik dan berbahaya seperti obesiti, kencing manis dan tinggi kolesterol. Oleh itu senaman merupakan salah satu cara yang penting untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik. Menurut WHO, seseorang digalakkan untuk melakukan senaman sebanyak 5 hari seminggu dan 30 minit setiap sesi.

  • Merokok - dalam rokok terdapat satu bahan kimia yang dinamakan akrolein. Akrolein ini akan menghentikan aktiviti HDL iaitu mengambil kolesterol di saluran darah untuk dibawa ke hati untuk dibuang dari badan. Oleh itu kolesterol LDL akan bertambah dan boleh menyebabkan saluran darah tersumbat.

  • Minuman beralkohol - minuman alkohol jika diambil secara berlebihan akan meningkatkan tahap kolesterol LDL dalam badan

  • Obesiti - individual yang mempunyai BMI melebihi 30 adalah dikira obese. Ukur lilit pinggang juga boleh digunakan untuk mengenal pasti masalah (Central obesiti). Bagi lelaki central obesiti ialah apabila ukur lilit melebihi 102 cm dan bagi wanita pula ialah melebihi 90 cm. Central obesiti meningkatkan risiko untuk mendapatkan kolesterol tinggi.

  • Penyakit kronik - mengawal penyakit kronik seperti kencing manis, hipertiroid, penyakit hati dan darah tinggi akan mengurangkan tahap kolesterol di dalam badan.

Punca genetik:

  • Penyakit kolesterol tinggi kerana genetik atau keturunan juga telah dikenal pasti sebagai punca tinggi kolesterol dalam badan. Selain itu pertambahan usia juga meningkatkan risiko penyakit kolesterol tinggi.

  • Penyakit familial hypercholesterolemia merupakan penyakit genetik penyebab kolesterol tinggi selain makanan. Pesakit mewarisi sakit ini dari keluarga mereka melalui autosomal dominan. Terdapat kerosakan di kromosome 19 yang menyebabkan badan tidak boleh membuang LDL dari dalam saluran darah. Ini akan menyebabkan kolesterol LDL tetap tinggi walaupun seseorang menjaga pemakanan mereka dan mempunyai tahap HDL yang tinggi. Lebih teruk lagi, jika kedua-dua ibubapa mempunyai penyakit ini, anak mereka mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk mendapat penyakit jantung seperti serangan jantung atau heart attack pada usia yang sangat muda.

Kesan sampingan ubat-ubatan:

Ubat dan suplemen juga boleh menyumbang kepada peningkatan tahap kolesterol di dalam badan. Namun ia bukanlah penyumbang utama penyakit kolesterol tinggi malah peningkatan kolesterol juga minimal disebabkan oleh ubatan ini. Berikut merupakan contoh ubatan dan supplemen yang menyebabkan kadar kolesterol meningkat.

  • Vitamin D

  • Diuretik seperti Lasix (furosemide)

  • Escitalopram (Lexapro)

  • Fluoxetine (Prozac)

  • Creatine

  • Prednisone

  • Progestin

  • Retinoids

  • Beta blockers

Namun kebanyakan ubat ini diberikan untuk manfaat yang jauh melebihi risiko kolesterol tinggi. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?