Kolesterol Tinggi

Penyebab Dan Gejala Penyakit Kolesterol Tinggi (High Cholesterol)

Baca Soalan

Apa itu kolesterol

Kolesterol ialah salah satu bahan berlemak yang dihasilkan secara semulajadi di dalam badan. Kolesterol merupakan salah satu elemen yang penting dalam badan. Malah, hanya sebanyak 20% kolesterol yang diperlukan untuk badan didapati daripada sumber makanan, selebihnya sebanyak 80% dihasilkan sendiri oleh usus dan hati.

Kolesterol normal sangat penting untuk badan berfungsi secara normal seperti untuk menghadam makanan dengan menghasilkan asid bile di dalam usus, menghasilkan hormon seperti estrogen, testosterone, progesterone, aldosterone dan cortisone, membina struktur dinding sel badan dan menghasilkan Vitamin D. Vitamin D penting untuk membantu badan mengambil kalsium dan menguatkan tulang. Ini semua sangat penting, jika tiada kolesterol kita manusia tidak boleh hidup.

Antara makanan yang kaya dengan kolesterol ialah daging merah berlemak, minyak dan krim kelapa, marjerin, mentega, yogurt dan susu penuh lemak, makanan segera seperti burger dan sosej dan berbagai lagi. Oleh sebab badan hanya memerlukan hanya 20% kolesterol daripada diet harian, pemakanan makanan ini secara berlebihan boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapatkan tinggi kolesterol dalam badan atau dikenali sebagai hypercholesterolemia. Walaupun pemakanan dan gaya hidup yang tidak aktif merupakan sebab utama kenapa kolesterol selalu tinggi, tetapi terdapat juga penyebab-penyebab lain seperti faktor genetik keluarga dan masalah badan.

Tinggi Kolesterol dalam badan adalah sangat berbahaya kepada badan. Ia adalah penyumbang utama kepada penyakit yang boleh membawa maut seperti serangan jantung (Myocardial Infarction) dan serangan angin ahmar (Stroke). Terdapat satu formula yang telah digunakan untuk mengira risiko seseorang untuk mendapat serangan jantung dalam masa 10 tahun berdasarkan nilai kolesterol, umur, jantina, status merokok dan tekanan darah. Tambah lagi merumitkan keadaan ialah tiada simptom bagi seseorang yang mempunyai tinggi kolesterol dalam badan, layak digelar “silent killer”.

Kolesterol dan lemak yang diambil dari diet atau pemakanan akan diserap di dalam usus dan dibawa ke hati. Kemudian, lemak tersebut akan ditukar kepada kolesterol dan akan dilepaskan kembali ke dalam darah. Kolesterol merupakan bahan yang berminyak dan tidak larut dalam air, oleh itu di dalam badan ia dibawa oleh dua jenis protein, iaitu Low-Density lipoprotein (LDL) dan High-Density lipoprotein (HDL).

LDL, HDL dan Trigliserid

Low-Density Lipid (LDL) - dikenali sebagai kolesterol tidak baik atau tidak elok.

High-Density Lipid (HDL) - dikenali sebagai kolesterol baik atau elok.

LDL yang tinggi adalah risiko untuk mendapatkan aterosklerosis, iaitu penyakit pembuluh darah tersumbat oleh bahan yang kaya dengan kolesterol. Ini boleh menyebabkan saluran tersebut menjadi sempit atau tersumbat secara total. Ini boleh menghentikan peredaran darah, dan sangat membahayakan organ yang penting seperti jantung dan otak. Sel organ boleh mati sekiranya tiada darah yang membawa oksigen dan ini boleh menyebabkan serangan jantung sekiranya saluran darah ke jantung tersumbat dan serangan angin ahmar (stroke) jika saluran darah ke otak tersumbat.

Sebaliknya, HDL yang tinggi sebenarnya melindungi dari serangan jantung dan angin ahmar dengan membuang kolesterol dari saluran darah dan membawanya kembali ke hati.

Secara amnya, orang dewasa seharusnya cuba untuk mengawal tahap kolesterol normal mereka iaitu di bawah 5.2 millimol per liter (mmol/L). Untuk ukuran yang lebih tepat, tahap LDL perlu dikira juga.


Trigliserid - sejenis lemak yang ditemui di dalam badan. Apabila seseorang makan dan kalori terhasil tidak digunakan dengan segera, ia akan ditukarkan kepada trigliserid dan ini akan disimpan di dalam sel lemak di dalam badan. Apabila kalori atau tenaga diperlukan, hormon akan memecahkan trigliserid untuk menghasilkan tenaga. Berhati-hati, sekiranya seseorang memakan lebih banyak kalori dari apa yang digunakan, ini meningkatkan risiko untuk mendapatkan obesiti dan tinggi trigliserid.


Trigliserid dan kolesterol merupakan dua elemen lemak yang berbeza yang berada di dalam darah. Trigliserid digunakan untuk menyimpan kalori dan menghasilkan tenaga, manakala kolesterol digunakan untuk penghadaman, penghasilan hormon, pembinaan dinding sel dan menyerap Vitamin D untuk tulang dan kalsium.

Namun trigliserid juga menyumbang kepada serangan jantung dan serangan angin ahmar seperti kolesterol, dengan mengeraskan dinding saluran darah atau menebalkan saluran darah. Tinggi trigliserid juga boleh menyebabkan penyakit yang berbahaya seperti radang pankreas akut, sangat membahayakan nyawa.

Epidemiologi

Seluruh dunia, sebanyak 33% penyebab serangan jantung (Mycordial Infarction) adalah disebabkan oleh tinggi tahap kolesterol di dalam badan. Ini menyebabkan kematian hampir 2.6 juta orang, dan menyebabkan kecacatan kekal kepada 29.7 juta orang.

Di Malaysia, serangan jantung masih menjadi sebab utama kematian rakyat Malaysia sejak 10 tahun lepas. Jabatan Statistik Malaysia merekodkan bahawa kematian disebabkan serangan jantung pada tahun 2014 merupakan yang paling tinggi, iaitu 13.5%. Disebabkan itu, kolesterol tinggi digelar pembunuh secara senyap kerana sangat bahaya kerana ia tiada simptom sehinggalah salurah darah tersumbat dan pesakit mendapat penyakit berbahaya ini.

Untuk melawan situasi ini, pihak kesihatan Malaysia telah mencadangkan agar mereka yang berumur 20 tahun ke atas untuk menjalani ujian setiap 5 tahun bagi mengesan tahap kolesterol dalam badan. Ujian darah di klinik biasa boleh digunakan sebagai cara kira kolesterol dalam badan.

Kaitan kolesterol tinggi dan asam urat (gout)

Kebiasaanya mereka yang mengalami gout turut mempunyai tahap kolesterol yang tinggi. Ini kerana kolesterol tinggi boleh disebabkan oleh metabolic syndrome dan ia akan mengurangkan pengeluaran urate, dan ini meningkatkan risiko serangan gout. Namun, masih tiada bukti saintifik yang kukuh antara kaitan kolesterol tinggi dan gout.

Apa itu metabolic syndrome

Metabolic syndrome kondisi kesihatan yang mana pesakitnya mempunyai tiga atau lebih ciri-ciri di bawah:

  • Bentuk saiz badan seperti epal dan ukur lilit pinggang bagi lelaki > 40 inci dan wanita > 35 inci

  • Bacaan gula yang tinggi atau menghidap diabetes

  • Tinggi tekanan darah atau hipertensi

  • Tinggi trigliserid dan rendah HDL kolesterol

Pesakit kondisi ini mempunyai risiko untuk mendapat gout kerana mereka juga selalunya mempunyai tahan asid urik yang tinggi.

Pesakit juga mempunyai risiko penyakit kronik dan bahaya yang lain seperti serangan jantung, serangan angin ahmar, depressi, dan sebagainya.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?