Tiroid

Apakah Rawatan Untuk Penyakit Tiroid?

Baca Soalan

  • Penyakit tiroid boleh menyebabkan sama ada masalah hipertiroidisme (tahap hormon tiroid terlalu tinggi) atau hipotiroidisme (tahap hormon terlalu rendah).Terdapat pelbagai penyebab penyakit tiroid dan cara penyembuhannya.
  • Secara amnya, cara merawat penyakit tiroid akan dipilih berdasarkan kepada penyebab masalah tiroid, gejala-gejala yang dialami dan juga berdasarkan pilihan pesakit sendiri.

Rawatan hipertiroid

  • Berikut merupakan antara cara mengatasi penyakit tiroid:
    • Ubat antitiroid seperti propylthiouracil, carbimazole dan methimazole membantu mengurangkan pengeluaran hormon tiroid.

    • Beta-blocker digunakan untuk mengurangkan kadar denyutan jantung bagi pesakit dengan hipertiroidisme yang mempunyai peningkatan kadar degupan jantung.

    • Iodin radioaktif akan diserap ke dalam kelenjar tiroid dan akan menyebabkan kemusnahan pada kelenjar tiroid secara beransur-ansur.

    • Pembedahan boleh dilakukan untuk mengeluarkan keseluruhan atau sebahagian kelenjar tiroid.

  • Rawatan iodin radioaktif dan pembedahan merupakan rawatan hipertiroid yang bersifat kekal.
  • Tetapi ia boleh menyebabkan kekurangan hormon tiroid yang kemudiannya akan memerlukan terapi penggantian hormon tiroid buat seumur hidup.

Rawatan hipotiroid

  • Bagi masalah hipotiroidisme, cara meningkatkan hormon tiroid melibatkan penggunaan hormon tiroid sintetik levothyroxine.
  • Ini merupakan cara terbaik mengatasi kekurangan hormon tiroid dan akan membantu untuk menghilangkan gejala-gejala hipotiroidisme dengan efektif.
  • Tiada makanan untuk menyembuhkan tiroid yang bermasalah. Secara amnya, pesakit dinasihatkan mengamalkan diet yang seimbang bagi mencegah penyakit ini.

Rawatan komplikasi penyakit tiroid

  • Kebanyakan komplikasi penyakit tiroid boleh dirawat apabila penyebab utamanya dirawat.
  • Jika komplikasi tidak hilang dengan rawatan penyakit tiroid, rawatan lanjut yang mungkin akan melibatkan pakar kesihatan lain akan diberikan.  
  • Hipertiroid boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi seperti:
    • Masalah mata seperti mata terjojol, kabur penglihatan atau berganda atau hilang penglihatan. Kebanyakan masalah mata bertambah baik setelah penyakit tiroid dirawat. Masalah lebih parah akan dirujuk kepada pakar mata dan mungkin dirawat dengan ubat titis, steroid dan pembedahan mata.

    • Masalah jantung seperti masalah ritme jantung atau kegagalan fungsi jantung biasanya sembuh setelah penyakit tiroid dirawat.

    • Tulang rapuh (osteoporosis)

    • Ketidaksuburan

    • Kecacatan kelahiran, keguguran atau kelahiran pramatang

    • ‘Thyroid storm’: Ia jarang berlaku tetapi ia merupakan keadaan yang mengancam nyawa dan memerlukan rawatan kecemasan.

  • Hipotiroid boleh menyebabkan pelbagai komplikasi, termasuk:
    • Tiroid yang membengkak dan membesar boleh menyebabkan kesukaran menelan dan bernafas. Pembedahan tiroid mungkin diperlukan untuk mengatasi komplikasi-komplikasi ini.

    • Kolesterol tinggi dan penyakit jantung

    • Kerosakan saraf yang menyebabkan kebas dan sakit pada kaki dan lengan

    • Ketidaksuburan

    • Kecacatan kelahiran, keguguran atau kelahiran pramatang

    • Kemurungan - Sesetengah pesakit memerlukan ubat dan terapi untuk mengatasi masalah kemurungan

    • Myxedema: Hipotiroidisme yang teruk boleh menyebabkan pelbagai gejala seperti sensitif terhadap suhu sejuk, keletihan dan sesetengah kes serius boleh menyebabkan ketidaksedaran atau koma yang memerlukan rawatan kecemasan di hospital.

Written by: Dr M Ramzdhan

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy