Tiroid

Penyebab, Jenis, Gejala, Diagnosis Dan Rawatan Penyakit Tiroid

Baca Soalan

Apakah itu tiroid?

Kelenjar tiroid merupakan sejenis kelenjar endokrin yang terletak di bahagian hadapan leher anda. Ia berbentuk seperti huruf H dan terdiri daripada lobus kanan dan lobus kiri yang disambungkan dengan satu bahagian tiroid nipis yang dikenali sebagai isthmus. Kedua-dua lobus ini terletak di hadapan saluran pernafasan anda (trachea). Kelenjar tiroid yang bersaiz normal biasanya tidak dapat dilihat atau dirasa apabila anda menyentuh leher anda.

Kelenjar tiroid

Fungsi kelenjar tiroid adalah untuk:

  1. Mengambil iodin yang diserap daripada makanan harian anda dan mengubahnya untuk dijadikan hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) dan triiodothyronine (T3).
  2. Tiroid yang normal menghasilkan kira-kira 80% T4 dan kira-kira 20% T3 dan kedua-dua hormon tiroid ini akan dilepaskan ke dalam aliran darah untuk dihantarkan ke sel-sel di seluruh badan anda.
  3. Hormon tiroid T4 mengandungi empat atom iodin manakala hormon tiroid T3 mengandungi tiga atom iodin.
  4. Dalam sel-sel dan tisu badan, sesetengah hormon T4 akan ditukarkan kepada hormon T3.
  5. Hormon T3 inilah yang merupakan hormon tiroid aktif yang akan mempengaruhi aktiviti hampir kesemua sel di dalam badan anda. Maka, fungsi kelenjar tiroid adalah untuk mengawal kadar metabolisme badan anda.

Kelenjar tiroid pula dikawal oleh kelenjar pituitari yang bersaiz seperti sebiji kacang yang terletak di bahagian bawah otak anda. Apabila tahap hormon tiroid jatuh terlalu rendah, kelenjar pituitari menghasilkan “Thyroid Stimulating Hormone” (TSH) yang akan merangsang kelenjar tiroid untuk menghasilkan lebih banyak hormon. Setelah tahap T3 dan T4 ditingkatkan, kelenjar pituitari akan bertindak balas dengan mengurangkan pengeluaran TSH.

Kelenjar pituitari pula dikawal oleh hipotalamus yang merupakan bahagian otak yang menghasilkan “Thyrothropin Releasing Hormone” (TRH). TRH bertanggungjawab di dalam menentukan tahap hormon tiroid. Maka ia dilakukan melalui pengawalan kelenjar pituitari yang bertanggungjawab merangsang dan memastikan kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi.

Kelenjar tiroid juga mengandungi sel yang berfungsi menghasilkan hormon calcitonin untuk membantu mengawal tahap kalsium dan fosfat di dalam darah.

Hormon tiroid

Hormon T3 sama ada yang berasal daripada hormon T4 atau hormon T3 yang dilepaskan secara langsung dari kelenjar tiroid akan bertindak dengan membantu mengawal kadar metabolisme sel-sel badan. Fungsi hormon tiroid apabila meningkat, akan menyebabkan:

  • Peningkatan suhu badan

  • Meningkatkan kadar denyutan nadi dan menguatkan degupan jantung

  • Mencernakan makanan lebih pantas kerana sumber tenaga yang disimpan di dalam hati dan otot akan digunakan dengan cepat

  • Menigkatkan proses kematangan otak kanak-kanak

  • Mempromosikan tumbesaran kanak-kanak

  • Meningkatkan aktiviti sistem saraf supaya konsentrasi dapat ditingkatkan dan refleks menjadi lebih pantas.

Hal ini menunjukkan kepentingan dan peranan hormon tiroid di dalam mengawal fungsi-fungsi tubuh badan yang penting seperti pernafasan, kadar degupan jantung, sistem saraf pusat dan periferal, berat badan, kekuatan otot, kitaran haid, suhu badan, tahap kolesterol dan sebagainya.

Jenis-jenis penyakit tiroid

Berikut adalah masalah-masalah yang boleh berlaku pada tiroid:

  1. Masalah penghasilan hormon tiroid - hipertiroid atau hipotiroid

  2. Pertambahan saiz kelenjar tiroid sehingga menekan struktur-struktur yang penting di dalam leher

  3. Ketumbuhan nodul atau ketulan dalam tiroid yang dibimbangi mengandungi kanser

  4. Kanser tiroid

Hipertiroid

Masalah hipertiroid adalah sebuah masalah berlaku akibat daripada penghasilan hormon tiroid yang terlalu tinggi dan menyebabkan peningkatan aktiviti sel tubuh badan anda.

Hal ini akan menyebabkan organ-organ berfungsi dengan lebih pantas dan bekerja lebih banyak lantas menyebabkan simptom-simptom seperti:

  • Banyak berpeluh

  • Sensitif terhadap suhu tinggi

  • Tangan menggeletar

  • Degupan jantung yang pantas

  • Cirit-birit

  • Penurunan berat badan yang tidak dirancang

  • Lemah-lemah otot

  • Kesukaran tidur (insomnia)

  • Rasa bimbang

  • Perasaan gemuruh

  • Keguguran rambut

  • Gangguan kitaran haid: Kadar haid yang tidak teratur, terlepas tempoh haid atau haid yang ringan

  • Masalah ketidaksuburan

Penyebab hipertiroidisme yang paling kerap ialah penyakit Graves yang merupakan sejenis penyakit autoimmune. Penyakit ini berlaku akibat daripada penghasilan antibodi, sejenis sel imun yang menyerang kelenjar tiroid sendiri. Hal ini kemudian akan menyebabkan penghasilan hormon tiroid yang terlampau banyak oleh kelenjar tiroid. Penyakit Graves adalah merupakan penyakit turun-temurun dan lebih sering dijumpai dalam kalangan pesakit wanita.

Penyakit hipertiroid juga boleh disebabkan oleh jenis tiroid goiter multinodular toksik atau adenoma toksik di mana ketumbuhan dalam kelenjar tiroid menyebabkan penghasilan jumlah hormon tiroid yang terlampau banyak.

Di samping itu, radangan kelenjar tiroid yang dikenali sebagai tiroiditis akibat jangkitan virus atau serangan daripada sistem imun boleh menyebabkan masalah hipertiroidisme dalam jangka masa pendek.

Seseorang yang mengambil terlalu banyak iodin melalui sumber makanan, ubat-ubatan atau suplemen juga boleh menyebabkan masalah hipertiroid berlaku.

Sesetengah wanita juga mungkin mengalami masalah hipertiroid ketika mengandung atau selepas melahirkan anak.

Hipotiroid

Masalah hipotiroid pula berlaku apabila kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid yang terlalu sedikit. Hal ini akan menyebabkan aktiviti sel-sel dan organ-organ tubuh badan menjadi lebih perlahan dan gejala-gejalanya termasuk:

  • Sensitif terhadap suhu rendah

  • Degupan jantung yang perlahan

  • Sembelit

  • Peningkatan berat badan

  • Rambut kasar dan kering

  • Keguguran rambut

  • Kulit kasar dan kering

  • Kemurungan

  • Berasa letih dan lemah

  • Gangguan ingatan

  • Perasaan mudah terganggu

  • Gangguan kitaran haid

  • Kekurangan libido

  • Masalah ketidaksuburan

Penyebab yang paling kerap bagi masalah hipotiroid ialah sejenis penyakit autoimune yang dikenali sebagai Tiroiditis Hashimoto. Radangan pada kelenjar tiroid berlaku disebabkan oleh serangan daripada sistem imun pesakit sendiri.

Rawatan bagi penyakit hipertiroid seperti pembedahan kelenjar tiroid dan terapi radioiodin juga boleh menyebabkan masalah hipotiroid yang kekal apabila kebanyakan kelenjar tiroid dibuang atau jika kebanyakan sel kelenjar tiroid dimusnahkan dengan terapi radioiodin. Sesetengah pesakit yang menjalankan radioterapi bagi penyakit lymphoma dan kanser berhampiran bahagian leher atau dada juga boleh menyebabkan sejumlah besar sel kelenjar tiroid dimusnahkan sehingga pesakit mendapat hipotiroid.

Sesetengah pesakit mengalami masalah hipotiroidisme sejak lahir yang diakibatkan oleh penyakit hipotiroid kongenital.

Terdapat juga beberapa ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kesan sampingan hipotiroid seperti amiodarone yang digunakan untuk merawat gangguan irama jantung, ubat antitiroid yang digunakan untuk merawat masalah hipertiroid, interferon-alpha bagi pesakit yang mempunyai ketumbuhan malignan tertentu dan pesakit yang mempunyai hepatitis B dan C serta ubat litium bagi kemurungan dan gangguan bipolar.

Masalah kelenjar pituitari yang jarang berlaku juga boleh menyebabkan masalah hipotiroid terjadi. Sekiranya kelenjar pituitari tidak menghasilkan hormon TSH yang mencukupi, kelenjar tiroid tidak menerima isyarat untuk menghasilkan hormon tiroid. Hal ini juga boleh menyebabkan masalah hipotiroid berlaku.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?