Haid Sakit

Apakah senggugut dan bagaimana mencegah dan merawat?

Baca Soalan

Apakah dismenorea

Ramai wanita tertanya-tanya, adakah sakit perut saat haid bahaya? Sakit ketika haid atau senggugut dikenali sebagai dismenorea. Masalah ini merupakan salah satu penyebab kunjungan wanita ke klinik. Kesakitan sewaktu datang haid adalah normal bagi kebanyakan wanita. Namun begitu, kira-kira 10% wanita mengalami kesakitan yang teruk.

Dismenorea boleh dibahagikan kepada dua kategori:

  • Primary Dysmenorrhoea

Kesakitan sewaktu haid yang berlaku dalam kategori ini merupakan kesan dari proses fisiologi yang normal berlaku dalam setiap wanita

  • Secondary Dysmenorrhoea

Dalam kategori ini, sakit yang berlaku ketika haid adalah disebabkan abnormaliti pada organ peranakan wanita itu sendiri.

Punca gejala dismenorea

Berikut adalah penyebab sakit perut saat haid:

Bagi Primary Dysmenorrhoea, gejala kesakitan yang berlaku adalah disebabkan oleh paras prostaglandin yang berlebihan. Prostaglandin adalah hormon yang menyebabkan pengecutan rahim dan juga pembuluh darah di dalam rahim. Proses ini adalah normal ketika menstruasi dan juga ketika melahirkan bayi. Pengecutan rahim ketika menstruasi membantu menggugurkan lapisan darah pada endometrium manakala membantu menolak bayi keluar dari rahim ketika proses melahirkan.

Antara penyebab seseorang boleh merasai kesakitan yang lebih teruk akibat proses normal oleh prostaglandin ini adalah seperti berikut:

  • Rahim yang terbalik (Retroverted uterus)

  • Menstruasi yang lebih panjang, pendarahan yang terlalu banyak atau kitaran haid tidak teratur

  • Kurang bersenam

  • Merokok

  • Berat badan berlebihan

  • Banyak mengambil minuman keras

  • Tekanan emosi

  • Mula mendapat haid sebelum berumur 12 tahun

  • Ada sejarah keluarga terdekat yang mengalami dismenorea

Secondary Dysmenorrhoea pula adalah gejala kesakitan sewaktu datang haid akibat abnormality pada rahim. Kesakitan yang berlaku adalah mungkin turut berpunca daripada paras prostaglandin yang tinggi. Namun dalam kategori ini wujud abnormaliti pada struktur rahim yang menyebabkan ia berlaku.

Antara abnormaliti yang boleh berlaku adalah:

  • Endometriosis – tisu yang membina bahagian dalam dinding rahim (Endometrium) tumbuh pada bahagian luar rahim

  • Adenomyosis – tisu endometrium tumbuh ke dalam bahagian otot rahim

  • Pelvic Inflammatory Disease (PID) – Jangkitan pada rahim yang kemudiannya merepak ke seluruh pelvis

  • Cervical Stenosis – laluan bukaan rahim sempit

  • Fibroid – Ketumbuhan yang benign di dalam rahim. Masalah ini turut menyebabkan wanita mengalami masalah haid yang terlalu banyak, terlalu lama atau tidak teratur.

  • Ketumbuhan polip di dalam rahim

  • Intrauterine adhesions – Dinding dalam rahim melekat akibat proses (Scarring)

  • Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS) – ketumbuhan cyst pada ovari yang sering menyebabkan kemandulan dalam wanita

Simptom dan komplikasi dismenorea

Seseorang yang menghidap dismenorea akan mengadu simptom-simptom seperti berikut:

Sakit pada bahagian abdomen bawah ketika datang haid. Pesakit juga akan merasa kesakitan pada bahagian pinggul, bahagian belakang bawah dan paha.

  • Bagi (Primary Dysmenorrhoea), pesakit akan merasa kesakitan apabila haid bermula dan akan bertambah sakit dalam 24 jam hingga 2 atau 3 hari. Selepas itu kesakitan akan beransur kurang dan menghilang.

  • Sakit bagi (Secondary Dysmenorrhoea) selalunya bermula lebih awal dan pesakit akan mengalaminya dalam jangka masa lebih panjang.

  • Jenis kesakitan yang dirasai ketika masalah ini berlaku adalah sama ada jenis (Spasmodic) iaitu rasa menikam pada abdomen yang datang secara berkala atau (Congestive) iaitu rasa sakit seperti senak yang dalam.

Sesetengah wanita yang mengalami masalah ini turut mendapat simptom mual atau muntah-muntah, cirit-birit, pening atau sakit kepala serta merasa begitu letih

Simtom perbezaan (Primary) dan (Secondary Dysmenorrhoea)

Primary

  • Bermula sejak wanita akil baligh

  • Kesakitan dalam 48-72 jam

  • Sakit seperti kram atau seperti hendak melahirkan anak

  • Sakit pada bahagian abdomen bawah dan merebak ke belakang dan paha

  • Tiada abnormality pada pemeriksaan pelvis dan rectal

  • Masalah ini selalunya dilaporkan hilang selepas wanita melahirkan anak

Secondary

  • Sakit yang berlaku turut dialami pada waktu tidak datang haid

  • Merasa kembung perut, sakit belakang dan berat pada kawasan pelvis

  • Sakit teruk ketika haid bermula sejak usia 20-30an dan tidak mengalami kesakitan sedemikian ketika mula datang haid atau akil baligh

  • Keluar darah haid yang terlalu banyak, lama atau tidak teratur

  • Abnormaliti dikesan apabila melakukan pemeriksaan bahagian pelvis

  • Sakit tidak berkurangan dengan ubat tahan sakit seperti NSAIDs

  • Keluar cecair dari faraj

  • Sakit ketika melakukan hubungan seks

  • Kemandulan

Masalah ini bukanlah kesakitan yang biasa, ia menyebabkan hampir 15% penghidapnya tidak dapat menjalani aktiviti harian secara normal dan terpaksa mengambil cuti sakit dari bekerja atau belajar.

Bagi (Secondary Dysmenorrhoea), komplikasi yang boleh berlaku adalah seperti kemandulan atau anemia akibat pendarahan yang banyak.

Tips mengatasi dismenorea

Kesakitan akibat (Primary Dysmenorrhoea) boleh dicegah dengan langkah-langkah berikut:

  • Mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat seperti kerap melakukan senaman, riadah dan makan makanan yang seimbang

  • Berhenti merokok atau jauhi rokok kerana ia merupakan salah satu punca masalah ini

Rawatan gejala dismenorea

Rawatan bagi dismenorea terbahagi kepada rawatan klinikal dan rawatan alternatif

Rawatan klinikal

  1. Farmakologi

    • Ubat tahan sakit yang sesuai bagi pesakit untuk melegakan sakit kram, sakit kepala dan juga sakit belakang dan paha. Pil tahan sakit adalah antara ubat sakit perut saat haid yang paling berkesan terutamanya bagi dismenorea primary.

    • Ubat untuk menghilangkan mual atau muntah – muntah

    • Bagi sesetengah pesakit, pil perancang kehamilan yang mengandungi hormon dapat membantu memberi kelegaan

    • Bagi pesakit yang tidak merasa lega walaupun telah diberi ubat tahan sakit, hendaklah diperiksa bagi memastikan punca dismenorea bukanlah akibat (Secondary)

2. Rawatan lain

    • Bagi masalah dismenorea akibat (Secondary), rawatan adalah bergantung kepada puncanya. Sebagai contoh, rawatan (Uterine artery embolization) untuk membuang ketumbuhan fibroid.

    • Pembedahan mungkin diperlukan seperti dismenorea yang disebabkan endometriosis.

    • Bagi sesetengah pesakit, masalah dismenorea yang terlalu teruk mungkin penyebabkan mereka terpaksa menjalani pembedahan membuang rahim iaitu (Hysterectomy) bagi menyelesaikan masalah ini. Namun ia akan menyebabkan kemandulan kepada wanita, oleh itu rawatan lain haruslah digunakan atau disarankan kepada pesakit dan pembuangan rahim merupakan langkah terakhir untuk merawat masalah ini dan haruslah sedaya upaya dielakkan dalam kalangan wanita muda dalam umur boleh mengandung.

Rawatan Alternatif

  • Pengambilan makanan yang disarankan untuk membantu mengatasi masalah ini adalah seperti makanan vegetarian yang rendah lemak dan kaya dengan pyrodixine, magnesium dan vitamin E. Namun, tiada kajian mendalam pernah dilakukan.

  • Cara mengatasi sakit perut saat haid dengan rawatan di rumah:

    1. Penggunaan pad pemanas yang diletakkan pada bahagian abdomen bawah atau belakang.

    2. Mandi air suam

    3. Melakukan senaman ringan seperti regangan. Perbuatan ini dapat melancarkan peredaran darah pada pelvis sekaligus mengurangkan kesakitan

    4. Mendapatkan rehat yang cukup

    5. Melakukan senaman yoga

    6. Sapuan topikal seperti minyak atau krim panas

  • Akupunktur

  • Akupresur

  • Aromaterapi

  • Urutan

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?