Hepatitis B

Penyebab Jangkitan Hepatitis B

Baca Soalan

Bagaimanakah hepatitis B merebak ?

  • Hepatitis B merupakan sejenis jangkitan virus. Virus penyebab penyakit hepatitis B boleh menyebabkan masalah hati seperti (Cirrhosis) dan kanser hati. Penyebab hepatitis B adalah penyebaran virus ini melalui darah dan cecair badan.
  • Virus hepatitis B boleh merebak melalui beberapa cara daripada pesakit hepatitis B kepada orang lain. Terdapat beberapa faktor penyebab penyakit hepatitis b.

Jenis-jenis penularan hepatitis B :

  1. Ibu yang menghidap hepatitis B kepada anak

  • Ibu yang dijangkiti hepatitis B boleh menyebarkan jangkitan kepada bayi mereka semasa proses kelahiran

  1. Hubungan seks dengan pembawa hepatitis B

  • Boleh merebak melalui cecair badan seperti air liur, darah haid, cecair faraj dan air mani.

  1. Melalui perkongsian jarum

  • Berlaku dalam kalangan pengguna dadah. Pekerja dalam sektor kesihatan mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana terdedah kepada risko (Needle stick injury) yang boleh menyebarkan jangkitan ini kepada mereka daripada jarum yang tercemar dengan virus hepatitis B sewaktu menjalankan tugas.

  1. Tatu

  • Mereka yang mengukir tatu pada badan mempunyai risikoterhadap jangkitan ini melalui penggunaan jarum yang tercemar dengan virus semasa proses melukis tatu. Pastikan pakar tatu anda menukar jarum sebelum proses melukis tatu dilakukan.

Risiko jangkitan hepatitis B :

  • Vaksinasi hepatitis B telahpun menurunkan risiko masyarakat mendapat jangkitan hepatitis B di Malaysia. Bagi mengurangkan risiko jangkitan, golongan yang berisiko tinggi digalakkan mendapat suntikan vaksinasi hepatitis B.
  • Sila hubungi klinik ataupun hospital terdekat sekiranya anda belum mendapat suntikan ataupun dalam golongan berisiko.

Kenyataan di bawah menunjukkan risiko jangkitan hepatitis B :

  • Bayi dalam kandungan ibu yang menghidap hepatitis B.

  • Melakukan hubungan seks dengan pesakit hepatitis B.

  • Berkongsi jarum suntikan dengan pembawa hepatitis B.

  • Terdedah dengan cecair tubuh pesakit hepatitis B di rumah.

  • Terdedah kepada jangkitan hepatitis B kerana pekerjaan anda. Contohnya pekerja dalam sektor kesihatan dan keselamatan awam.

  • Menghidap jangkitan HIV.

  • Mereka yang melakukan hubungan seks sejenis.

  • Pesakit yang memerlukan dialisis secara berpanjangan.

  • Menghidap penyakit hati.

  • Berada ataupun mengunjungi kawasan yang mempunyai kadar jangkitan hepatitis B yang tinggi.

Risiko jangkitan kronik hepatitis B :

  • Jangkitan hepatitis B boleh menyebabkan anda mempunyai jangkitan secara akut ataupun jangkitan kronik. Jangkitan akut merupakan jangkitan yang kurang daripada 6 bulan, manakala jangkitan kronik adalah jangkitan melebihi 6 bulan.
  • Risiko mendapat jangkitan kronik hepatitis B tertakluk kepada umur anda. Dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai jangkitan hepatitis B, lebih kurang 90% akan mendapat jangkitan kronik hepatitis B. Dalam kalangan dewasa, kurang daripada 5% akan mendapat jangkitan kronik hepatitis B.
  • Ini adalah statistik yang didapati dari kajian dalam golongan pembawa hepatitis B. Jangkitan hepatitis B kronik merupakan satu perkara yang membimbangkan kerana ia meningkatkan risiko seseorang mendapat masalah (Cirrhosis) dan kanser hati.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?