Hepatitis B

Gejala Jangkitan Hepatitis B

Baca Soalan

Cara Jangkitan Hepatitis B merebak

  • Hepatitis B adalah radang hati yang disebabkan oleh virus hepatitis B. Penyakit ini boleh menyerang manusia secara akut ataupun kronik.
  • Bagi jangkitan akut, ia selalunya boleh sembuh sendiri tetapi jangkitan kronik pula akan menyebabkan masalah sirosis dan kanser hati, yang boleh mendatangkan maut.  
  • Virus ini berjangkit melalui:
    • Cecair badan (sebagai contoh, air liur, cecair faraj dan air mani)
    • Hubungan seksual
    • Ibu ke anak
    • Darah atau produk darah
    • Perkongsian jarum suntikan
  • Jangkitan juga boleh berlaku melalui penggunaan jarum yang telah dicemari virus semasa akupunktur, bertindik dan bertatu.

Gejala Hepatitis B Akut dan Kronik

  • 30-40% orang yang mengalami penyakit ini tidak akan menunjukkan apa-apa simptom kerana pada masa ini virus hepatitis B tidak aktif.
  • Gejala-gejala akut selalunya muncul dalam dua hingga empat bulan selepas pesakit terdedah kepada virus, dan gejala ini akan hadir dari beberapa minggu sehingga 6 bulan lamanya.

Gejala awal hepatitis B adalah:

    • Kekuningan pada kulit dan putih mata (jaundice)
    • Demam
    • Sakit sendi
    • Loya
    • Muntah
    • Hilang selera makan
    • Sakit perut
    • Letih
    • Air kencing gelap
    • Najis berwarna pudar  
  • Kadangkala, dalam kes akut dengan komplikasi yang dinamakan “fulminant hepatitis”, walaupun jarang berlaku, pesakit akan mengadu mengalami:
    • Gangguan pola tidur
    • Kekeliruan
    • Perut tiba-tiba membesar
    • Masalah pendarahan yang sukar berhenti (coagulopathy)
  • Situasi ini boleh mengancam nyawa pesakit.
  • Keadaan seseorang itu dikatakan kronik berdasarkan ujian darah, iaitu kehadiran antigen virus hepatitis B selepas 6 bulan dijangkiti.
  • Seperti yang dinyatakan di atas, hepatitis kronik boleh menyebabkan sirosis dan seterusnya kanser hati.
  • Walaupun keadaan ini berbahaya, simtom hepatitis B dalam kes kronik tidak begitu ketara. Sakit perut ini pula selalunya di bahagian kanan atas, tahap sakit selalunya ringan hingga sederhana, dan sakit ini tidak berterusan.
  • Oleh kerana simptomnya tidak spesifik, sesiapa yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini atau mengalami gejala-gejala tersebut dalam jangka masa panjang, haruslah bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Apakah diagnosis lain dengan gejala sama?

  • Simptom - simptom yang dinyatakan di atas, selain merupakan tanda Hepatitis B, juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain.  
  • Sebagai contoh, jangkitan virus hepatitis A yang dikaitkan dengan:
    • Makanan tercemar
    • Masalah saluran hempedu
    • Kecederaan hati disebabkan oleh ubat - ubatan
  • Adalah dinasihatkan supaya sesiapa yang mengalami mana - mana gejala tersebut untuk bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?