Hepatitis B

Diagnosis Hepatitis B

Baca Soalan

Diagnosis jangkitan hepatitis B :

  • Jangkitan hepatitis B merupakan sejenis jangkitan virus yang boleh menyebabkan masalah pada organ hati. Anda akan disyaki menghidap jangkitan hepatits B sekiranya anda mempunyai risiko ataupun simptom-simptom yang merupai jangkitan hepatitis B.
  • Risiko mendapat jangkitan hepatitis B termasuk hubungan seks dengan pasangan yang mempunyai jangkitan hepatitis B, perkongsian jarum picagari dan transfusi darah.
  • Jangkitan hepatitis B adalah melalui darah dan cecair tubuh. Simptom-simptom yang boleh berlaku pada pesakit hepatitis B ini termasuk kekurangan selera makan, loya, muntah, kekuningan pada kulit ataupun mata, sakit perut, sakit sendi dan kelesuan.
  • Doktor akan membuat pemeriksaan dan melakukan ujian makmal untuk menentukan status jangkitan hepatitis B.

Ujian saringan dan pengesahan jangkitan hepatitis B :

  • Ujian darah hepatitis B dilakukan kerana ia merupakan virus yang tersebar melalui sistem saluran darah anda. Doktor perlu mendapat sampel darah daripada anda. Ujian darah hepatitis B merangkumi beberapa bacaan hepatitis B yang mengesan komponen-komponen virus tersebut.
  • Contoh-contoh komponen ujian darah termasuk HBsAg, HBeAg dan HBV DNA. Ujian ini akan ditafsirkan oleh doktor anda dan membantu mereka membuat keputusan sama ada rawatan diperlukan ataupun tidak.
  • Terdapat beberapa komponen lain dalam ujian darah yang perlu dinilai oleh doktor anda. Jikalau anda mempunyai HBsAg positif, ini bermakna anda telah dijangkiti hepatitis B.
  • Jikalau anda mempunyai HBsAg negatif, maka doktor akan menilai sama ada anda memerlukan vaksinasi ataupun tidak. Bacaan ALT menunjukkan status organ hati anda. Peningkatan ALT menunjukkan keradangan hati.
  • HBV DNA nucleic testing digunakan bagi pesakit yang mempunyai jangkitan hepatitis B untuk menentukan sama ada rawatan diperlukan atau tidak.
  • Ujian saringan dilakukan pada golongan berisiko tinggi termasuk mereka yang berkongsi jarum suntikan, orang asing, pelacur, pekerja sektor penjagaan kesihatan.
  • Ujian saringan dapat membantu menentukan status jangkitan hepatitis B dan golongan berisiko tinggi digalakkan untuk mendapatkan vaksin bagi jangkitan hepatitis B.

(Contact tracing):

  • (Contact tracing) adalah prosedur mengesan mereka yang pernah berhubungan dengan pesakit Hepatitis B dan berisko untuk mendapat jangkitan ini. Ia adalah penting untuk mengurangkan penyebaran jangkitan hepatitis B dan memberikan rawatan kepada mereka yang dijangkiti.
  • Sekiranya seseorang mendapat jangkitan hepatitis B, virus ini boleh berada selama 6 bulan dalam tubuh badan anda sebelum menyebabkan sebarang gejala.
  • Prosedur ini selalu dilakukan dalam golongan berisiko tinggi termasuk orang yang mempunyai pasangan seks, mereka yang terlibat dalam perkongsian jarum, ibu kepada anak yang mempunyai hepatitis B atau sebaliknya.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?