Hepatitis B

Pencegahan Jangkitan Hepatitis B

Baca Soalan

Pengenalan

  • Jangkitan hepatitis B adalah merupakan jangkitan virus yang boleh menyebabkan komplikasi hati dan kematian.

Langkah-langkah Mencegah Jangkitan Hepatitis B

Terdapat pelbagai langkah-langkah pencegahan hepatitis B.

Antaranya ialah:

  • Imunisasi dengan suntikan vaksin. Antara langkah yang paling berkesan ialah melalui suntikan vaksin terhadap hepatitis B. Tujuan suntikan hepatitis B adalah untuk membina ketahanan tubuh terhadap jangkitan ini.

  • Ketahui risiko aktiviti yang akan dilakukan apabila berkunjung ke luar negara untuk mengelakkan sebarang kecederaan.

  • Elakkan mendapatkan tindikan baru atau tatu di luar negara.

  • Elakkan dari berkongsi jarum suntikan, pisau cukur mahupun barang peribadi seperti berus gigi dan tuala.

  • Jika memerlukan rawatan perubatan atau pergigian di luar negara, pastikan ia dilakukan oleh pusat perubatan yang berdaftar dan bertauliah.

  • Sentiasa mengamalkan hubungan seks yang selamat - gunakan kondom dengan betul elakkan daripada kerap bertukar pasangan

Jadual Vaksinasi Hepatitis B

  • Vaksinasi hepatitis B adalah di bawah National Immunization Programme (NIP). Ia diberikan secara percuma kepada semua kanak-kanak Malaysia dalam 3 dos dengan dos pertama pada kelahiran dan dos berikutnya pada 1 bulan dan 6 bulan.
  • Ia mula diperkenalkan pada tahun 1989. Ini bermakna bahawa orang dewasa yang dilahirkan sebelum tahun ini berisiko dijangkiti hepatitis B.
  • Para remaja dan orang dewasa yang berisiko yang belum menerima imunisasi disyorkan untuk mendapatkan 3 dos vaksin hepatitis B. Dos kedua diberikan sebulan selepas dos pertama, diikuti dengan dos ketiga enam bulan selepas dos kedua.
  • Ini memberikan perlindungan terhadap hepatitis B sebanyak lebih daripada 90% bagi orang dewasa yang sihat.

Syarat Vaksin Hepatitis B

Sesetengah orang tidak boleh diberi suntikan vaksin hepatitis B.

Antara syarat-syarat pemberian vaksin kepada seseorang ialah:

  • Tidak mempunyai sejarah tindak balas alahan yang mengancam nyawa kepada vaksin hepatitis atau mana-mana bahan dalam vaksin

  • Tidak sakit atau mempunyai jangkitan lain

Harga Vaksin Hepatitis B

  • Ia adalah percuma untuk kanak-kanak. Untuk orang dewasa, harga untuk satu dos suntikan vaksin ini ialah dalam lingkungan RM150.

Vaksin Hepatitis B Bertahan Berapa Lama?

  • Kajian menunjukkan bahawa memori imunologi kekal utuh selama sekurang-kurangnya 20 tahun dalam kalangan individu yang sihat apabila memulakan vaksin hepatitis B pada usia 6 bulan.

Adakah dos booster vaksin hepatitis B disyorkan?

Suntikan dos booster vaksin hepatitis B disyorkan hanya dalam keadaan tertentu:

    1. Bagi pesakit hemodialisis, keperluan untuk dos ini perlu dinilai setiap tahun

    2. Bagi orang-orang yang mengalami kompromi dalam sistem imun seperti jangkitan HIV

    3. Penerima pemindahan sel stem dan orang yang menerima kemoterapi


Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
*Maklumat anda akan kami lindungi. Tiada penjualan kepada pihak ketiga