HIV

Apakah Tanda-tanda dan Akibat-akibat Jangkitan Penyakit HIV dan AIDS

Baca Soalan

Apakah HIV dan AIDS?

HIV bermaksud human immunodeficiency virus (HIV). Ia adalah virus yang boleh menyebabkan AIDS jika tidak dirawat. Virus HIV bukan seperti virus lain. Penyakit HIV disebabkan oleh jangkitan HIV-1 atau HIV-2, yang merupakan retrovirus dalam keluarga Retroviridae, genus Lentivirus. Tubuh manusia tidak dapat menyingkirkan virus HIV sepenuhnya meskipun dengan rawatan. Oleh itu, jikalau anda dijangkiti HIV anda akan hidup selamanya dengan virus HIV dalam badan.

Fakta asas tentang HIV AIDS membantu seorang pesakit HIV mengenali penyakit yang dihidapi secara mendalam dan membantu membina kepercayaan untuk menerima rawatan. HIV adalah virus yang menyerang sistem imun badan, khususnya sel CD4 (sel T), yang membantu sistem imun melawan sebarang jangkitan. Dengan menghidapi jangkitan HIV, bilangan sel CD4 (sel T) di dalam badan berkurangan dan menjadikan orang itu lebih cenderung mendapat jangkitan atau kanser sekiranya tidak dirawat. Bukan itu sahaja, HIV boleh memusnahkan begitu banyak sel-sel ini sehingga tubuh tidak dapat melawan jangkitan dan penyakit.

Tanda-tanda dan gejala HIV dan AIDS?

Sesetengah pesakit HIV atau AIDS mungkin mengalami penyakit seperti selesema dalam masa 2 hingga 4 minggu selepas mendapat jangkitan (Tahap 1 jangkitan HIV). Namun demikian, terdapat juga sesetengah pesakit yang mungkin tidak rasa sakit semasa peringkat ini.

Gejala awal HIV termasuklah:

  • Demam dan menggigil

  • Ruam

  • Berpeluh pada waktu malam

  • Sakit kepala

  • Cirit-birit

  • Sakit otot

  • Kelenjar bengkak

  • Ulser mulut

Gejala sebegini boleh berlangsung di mana saja dari beberapa hari hingga beberapa minggu. Jika anda mempunyai simptom ini, itu tidak bermakna anda mempunyai HIV. Setiap gejala ini boleh disebabkan oleh penyakit lain. Tetapi jika anda mempunyai simptom-simptom ini selepas pendedahan kepada seseorang yang berpotensi terhadap HIV, berjumpalah dengan doktor segera dan beritahu mereka mengenai risiko anda. Satu-satunya cara untuk menentukan sama ada anda dijangkiti adalah untuk diuji untuk jangkitan HIV.

Cara penyebaran HIV dan AIDS?

Kebanyakan orang mendapat jangkitan HIV melalui aktiviti seksual dan penggunaan jarum seperti jarum suntik. Jangkitan HIV tidak boleh merebak dalam air liur, air mata, air kencing dan peluh. Oleh yang demikian, jangkitan itu tidak menular dalam situasi sebegitu.

Jangkitan HIV boleh merebak hanya melalui cecair badan tertentu seperti darah, air mani, cecair pra-mani atau lebih dikenali sebagai air mazi, cecair rektum, cecair faraj, dan susu ibu. Cecair ini mesti bersentuhan dengan lapisan mukosa atau tisu yang rosak atau disuntik terus ke dalam aliran darah (daripada jarum atau jarum suntikan) untuk penyebaran virus HIV berlaku. Lapisan mukosa terdapat di dalam rektum, faraj, zakar, dan mulut.

Virus HIV tidak dapat bertahan lama di luar tubuh manusia. Virus tersebut akan mati dengan cepat apabila cecair badan kering. Selain itu, virus HIV juga tidak disebarkan oleh haiwan atau serangga. Anda tidak akan dijangkiti virus HIV jika tersentuh sebarang permukaan awam seperti tombol pintu atau kerusi tandas.

Tambahan pula, virus HIV boleh juga disebarkan daripada ibu kepada anak daripada ibu mengandung, melahirkan anak atau semasa menyusu. Risiko untuk anak dijangkiti HIV daripada ibu adalah lebih tinggi jikalau ibu sudahpun menghidapi HIV serta tidak menerima sebarang rawatan HIV. Para doktor menasihati semua wanita hamil untuk menjalani ujian darah supaya risiko dijangkiti HIV dapat dikurangkan dan secara tidak langsung bilangan bayi yang dilahirkan dengan HIV dapat dikurangkan.

Diagnosis HIV

Bagi seorang doktor untuk membuat diagnosis bahawa seorang pesakit menghidapi HIV, sejarah perubatan pesakit yang mendalam, pemeriksaan fizikal dan juga beberapa ujian darah perlu dilakukan. Maklumat kesihatan seorang pesakit HIV yang diterima oleh doktor adalah sulit. Jika didapati, pasangan pesakit HIV perlu diberitahu tentang keadaan pesakit atau perlu menjalani ujian darah, maklumat kesihatan tersebut akan dimaklumkan dengan persetujuan pesakit. Status pesakit juga akan dirahsiakan dan pesakit disyorkan untuk menjalani kehidupan yang biasa.

Pada permulaannya, sejarah perubatan seorang pesakit perlu diambil. Beberapa soalan akan ditanya oleh para doktor untuk mengenali faktor risiko untuk HIV dan AIDS seperti:

  • Hubungan seks yang tidak dilindungi, terutamanya hubungan seks dubur (liwat) di mana orang yang diliwat mempunyai 8 kali ganda lebih tinggi risiko untuk dijangkiti sebarang jangkitan seksual seperti HIV.

  • Pasangan hubungan seksual yang ramai

  • Jangkitan gonorea dan klamidia yang pernah atau sedang dialami. Contohnya, gonorea dan klamidia meningkatkan risiko penghantaran HIV 3 kali ganda

  • Perkongsian jarum suntikan

  • Penerimaan produk darah yang tercemar jangkitan HIV

  • Lapisan mukosa yang tercedera disebabkan oleh darah atau jarum

  • Jangkitan HIV daripada seorang ibu mengandung yang tidak mengetahui atau menerima sebarang rawatan.

Seorang pesakit HIV juga boleh hadir dengan tanda-tanda dan gejala jangkitan HIV bergantung pada peringkat jangkitan itu berlaku. Jika jangkitan dalan keadaan aktif pesakit akan mempunyai demam, lenguh sendi dan keseluruhan badan, cepat berasa lemah, letih atau lesu, ruam di seluruh badan atau kelenjar yang bengkak.

Pemeriksaan untuk jangkitan HIV paling penting, kerana individu yang dijangkiti mungkin kekal tanpa gejala selama bertahun-tahun sementara jangkitan itu sedang berlangsung. Ujian serologi adalah pemeriksaan yang paling penting dalam penilaian untuk jangkitan HIV.

Ujian darah yang boleh dilakukan untuk membantu diagnosis termasuk yang berikut:

  • (CD4 count dan HIV Viral Load)

  • Ujian saringan antibodi yang cepat (HIV Rapid Test Kit) ,yang dilakukan dalam 30 minit atau kurang. Ujian ini biasanya dilakukan dengan darah dari jari telunjuk.

  • ( Nucleic acid tests (NAT) )

  • ( Antigen/ antibody test )

  • Biopsi kelenjar yang bengkak

Ujian susulan akan dijalankan. Sekiranya ujian susulan juga positif, bermakna diagnosis HIV (atau HIV-positif) adalah tepat.

Cara Mengubati HIV dan AIDS

Highly active antiretroviral therapy (HAART) merangkumi beberapa jenis rejimen ubatan untuk merawat pesakit HIV. Rawatan HAART akan dimulakan sekiranya bilangan CD4 berkurang <200 sel/mL. HAART perlu digunakan untuk jangka masa yang sewajarnya mengikut keadaan pesakit. Dengan ini, bilangan CD4 akan dipulihkan dan sekaligus HIV Viral Load akan dikurangkan.

Prinsip pemilihan HAART untuk rejimen pertama

Prinsip untuk memilih rejimen:

1. Pilih Lamivudine dalam semua rejimen

2. Pilih satu NRTI untuk bergabung dengan Lamivudine (Azidothymidine atau Tenofovir atau Stavudine)

3. Pilih satu NNRTI (Nevirapine atau Efavirenz)


(NRTI: Nucleoside reverse transcriptase inhibitor)

(NNRTI: Non-nucleoside reverse transcriptase inhibitor)

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?