Kebanyakan syarikat pencipta air alkali mendakwa bahawa air alkali lebih baik dalam menghidratkan badan, menyahtoksinkan badan, menurunkan berat badan dan mengelakkan atau membunuh sel kanser. Dakwaan-dakwaan atau testimoni air kangen ini yang menjadikan air alkali banyak kontroversi. Kajian yang dijalankan untuk menyokong dakwaan-dakwaan ini terlampau sedikit dan kebanyakkannya dijalankan oleh syarikat air alkali. Oleh itu, hasil kajian yang diterbitkan oleh syarikat ini mungkin berat sebelah untuk mempromosikan jualan air alkali mereka.
Untuk mereka yang sihat walafiat, air biasa yang berpH neutral adalah cukup untuk menghidratkan badan anda. Tiada kajian yang menunjukkan manfaat tambahan untuk mereka yang tidak mempunyai sebarang penyakit untuk minum air alkali. Hal ini kerana badan kita mempunyai penapis alkali dan asid untuk menyeimbangkan pH dalam badan kita iaitu ginjal.
Namun, beberapa kajian telah dijalankan ke atas beberapa kelompok masyarakat dengan masalah seperti refluks asid, darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi. Kajian yang dijalankan pada tahun 2012 menunjukkan bahawa air alkali yang berkarbonat secara semula jadi dari perigi Artesian dengan pH 8.8 boleh menyahaktifkan enzim pepsin. Enzim pepsin ini merupakan punca berlakunya penyakit refluks asid. Kajian yang diterbitkan dalam Shanghai Journal of Preventive Medicine menunjukkan penurunan tekanan darah dan kadar gula serta kolesterol dalam darah setelah pengamalan air alkali selama 3-6 bulan.
Kajian terbaru yang melibatkan 100 bilangan peserta menunjukkan bahawa kepekatan darah akan berkurang sebanyak 6.30% apabila minum air alkali selepas bersenam berbanding 3.36% apabila minum air ditapis yang standard. Darah yang kurang pekat akan membekalkan oksigen dengan lebih cekap ke sel-sel badan kita.