
liana
5 tahun
Apa paras kolesterol yang selamat
Salam doktor, nak tanya apa paras kolesterol yang selamat?

5 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall)untuk bercakap dengan pihak kami.
Ujian kolesterol memeriksa paras beberapa jenis lipoprotein dalam badan. Jenis-jenis lipoprotein dalam badan yang diukur adalah kolesterol total (jumlah kolesterol), trigliserida, kolesterol low density lipoprotein (LDL) dan kolesterol high density lipoprotein (HDL).
Untuk kolesterol total, paras yang selamat atau menunjukkan risiko rendah adalah <5.2mmol/L. Paras yang menunjukkan risiko sederhana adalah 2–6.2mmol/L, manakala risiko tinggi adalah >6.2mmol/L.
Trigliserida merupakan bentuk lemak yang dibuat dalam badan. Faktor-faktor yang meningkatkan paras trigliserida termasuk kekurangan aktiviti fizikal, obesiti, pengambilan minuman beralkohol, diet yang tidak sihat dan merokok. Kebanyakan orang yang mempunyai paras trigliserida tinggi mempunyai tahap LDL yang tinggi, tahap HDL yang rendah dan jumlah kolesterol yang tinggi. Paras yang selamat atau menunjukkan risiko rendah adalah <1.7mmol/L.
Low density lipoprotein (LDL) juga dikenali sebagai kolesterol buruk. Ini adalah kerana jenis lipoprotein ini biasanya akan melekat di dinding saluran darah dan menyebabkan pembentukan plak kolesterol. Plak kolesterol adalah penyebab utama aterosklerosis (saluran darah menjadi sempit dan keras), penyakit arteri koronari, serangan jantung dan serangan angin ahmar.
Risiko penyakit-penyakit ini akan dapat dikurangkan sekiranya tahap kolesterol LDL kiturunkan. Untuk kolesterol LDL, paras yang selamat atau menunjukkan risiko rendah adalah <2.6mmol/L. Paras yang menunjukkan risiko sederhana adalah 2.6–4.1mmol/L, manakala risiko tinggi adalah >4.1mmol/L.
High density lipoprotein (HDL) juga dikenali sebagai kolesterol baik. Ia berfungsi untuk mengeluarkan kolesterol dari saluran darah dan membawanya kembali ke hati untuk disingkirkan. HDL juga mencegah pembentukan plak kolesterol dalam saluran darah. Untuk kolesterol HDL, paras yang selamat atau menunjukkan risiko rendah adalah >1.45mmol/L (untuk lelaki) dan >1.68mmol/L (untuk wanita).
Paras yang menunjukkan risiko sederhana adalah 0.9–1.45mmol/L (untuk lelaki), 1.15–1.68mmol/L (untuk wanita), manakala risiko tinggi adalah <0.9mmol/L (untuk lelaki), <1.15mmol/L (untuk wanita). Wanita mempunyai paras HDL yang lebih tinggi kerana mereka dilindungi oleh hormon estrogen sebelum menopaus.
Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian. Terima kasih.