
Lilia
6 tahun
Masih sesak nafas bila bergerak lepas dapat rawatan
Hai doc… sy suri rumah sepenuh masa dan berumur 31 tahun. Sy juga tidak mempunyai anak lagi. Kebelakangan ni sy sering sesak nafas. Saya juga telah mendapatkan rawatan di hospital. Doc mengesahkan tiada apa2. Cuma jangkitan kuman pada paru-paru. Doc telah memberi saya antibiotic untuk seminggu. (Amoxycilin)
Hari ini hari ke4 sy makan ubt beserta ubat demam dan batuk yang doc bekalkan. Batuk sy terkawal. Tapi demam saya walaupun sy mkn ubat badan sy masih lg panas dan sy masih lg rasa sesak nafas bila bergerak seperti naik tangga atau berjalan cepat. Adakah ianya normal? Terima kasih doc

6 tahun
Salam. Terdapat pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan gejala yang anda sedang alami sekarang. Diagnosis yang paling sesuai untuk gejala anda di atas ialah jangkitan paru-paru atau pneumonia. Jangkitan ini biasanya disebabkan oleh virus, bakteria dan kadang kala kulat dan parasit. Virus seperti virus influenza serta bakteria seperti pneumococcus, haemopholus dan moraxella merupakan organisma yang menyebabkan jangkitan paru-paru. Penyakit tibi atau tuberculosis merupakan punca yang paling serius untuk jangkitan paru-paru. dan Jangkitan paru-paru boleh menyebabkan maut sekiranya tidak dirawat dengan awal terutamanya dalam kalangan orang tua dan orang yang menghidap AIDS.
Jangkitan paru-paru boleh mengambil masa 2 hingga 3 minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika jangkitan anda adalah disebabkan oleh bakteria, anda akan dirawat oleh antibiotik seperti amoxycilin. Ubat lain seperti ubat demam dan ubat kahak boleh digunakan untuk melegakan simtom anda. Pastikan anda menghabiskan semua antibiotik yang diberi untuk memastikan keberkesanan tertinggi terhadap jangkitan bakteria. Jangkitan virus adalah punca utama jangkitan paru-paru tetapi tiada rawatan spesifik untuk jangkitan bakteria buat masa sekarang.
Jika kondisi anda bertambah teruk seperti demam tinggi yang tidak surut atau pitam/pening, anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor segera untuk mendapatkan rawatan.
Golongan yang berisiko tinggi seperti orang tua, kencing manis atau orang yang mempunyai penyakit kronik digalakkan untuk mengambil vaksinasi influenza dan pneumococcus untuk mencegah jangkitan paru-paru.

6 tahun
Salam sejahtera. Terima kasih atas soalan anda. Anda mempunyai jangkitan paru-paru yang memerlukan antibiotik kerana ia merupakan jangkitan kuman. Jangkitan paru-paru juga dipanggil sebagai pneumonia dalam istillah perubatan. Ia merupakan kondisi keradangan dan kebengkakan tisu paru-paru anda. Jangkitan kuman merupakan jangkitan yang paling biasa dalam kalangan pesakit.
Antara simptom-simptom pneumonia termasuk batuk yang mempunyai kahak atau tidak mempunyai kahak, kesesakan bernafas, denyutan jantung yang cepat, demam, berasa lesu, berpeluh, kekurangan selera makan dan kesakitan dada.
Sekarang anda dirawat dengan antibiotik amoxicillin, ubat ini merupakan ubat yang paling biasa digunakan dalam pesakit dengan pneumonia. Anda hanya mengambil ubat ini pada hari keempat dan antibiotik adalah diberikan pada jangka masa selama seminggu. Tertakluk kepada tubuh badan anda, sesetengah orang memerlukan beberapa hari untuk pulih daripada pneumonia dan sesetengah orang memerlukan jangka masa sehingga 2 minggu. Sila ambil antibiotik mengikuti dos dan jangka masa yang disyorkan oleh doktor anda.
Sekiranya kesesakan bernafas ini merosot ataupun berlarutan melebihi dua minggu, sila berjumpa dengan doktor anda untuk memeriksa kemungkinan komplikasi daripada jangkitan paru-paru. Semoga saya menjawab soalan anda.