
izzahoonnlysz
4 tahun
Sakit Pinggul/Tulang Belakang Semasa Trimester Pertama
Assalamualaikum & hi doktor. Saya baru berumur 22 tahun & disahkan mengandung. Boleh saya tahu normal atau tidak bagi awal kandungan (10 minggu) mengalami sakit/nyeri di bahagian pinggul sebelah kanan atau tulang belakang di bahagian bawah? Saya sering mengalami kesukaran untuk bangun sekiranya saya duduk atau baring.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Hai! Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Pertama sekali, tahniah di atas kehamilan anda!
Berdasarkan keterangan anda, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang anda hadapi iaitu sakit pinggul atau tulang belakang semasa trimester pertama. Untuk makluman anda, terdapat beberapa punca utama sakit pinggang semasa hamil:
- Perubahan hormon dalam badan . Perubahan hormon akan menyebabkan sendi pinggul menjadi lebih longgar serta menjadikan ligamen di situ lebih fleksibel sebagai persediaan untuk proses bersalin. Apabila berlakunya perubahan ini, ianya akan menyebabkan wanita tersebut mengalami sakit pinggang kerana tidak biasa kepada perubahan tersebut dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Ini juga dikenali sebagai " symphysis pubis dysfunction" atau SPD .
- Pusat graviti tidak stabil. Apabila semakin hampir dengan waktu bersalin, maka badan ibu mengandung akan menjadi tidak stabil kerana pusat gravitinya tidak stabil. Hal ini akan menyebabkan sakit pinggang kerana badan wanita tersebut akan membengkok untuk memberikan sokongan bagi mengangkat beban kandungan.
- Pertambahan berat badan. Wanita juga akan mengalami masalah sakit pinggang semasa hamil kerana berat badan bertambah dengan mendadak.
- Mengangkat objek berat. Wanita juga akan mengalami sakit pinggang semasa hamil apabila mengangkat objek berat atau bebanan berlebihan sewaktu mengandung. Ini juga membawa risiko mengalami masalah slip disc.
- Seterusnya, wanita mengandung juga perlu kerap berehat dan tidak melakukan kerja yang berat kerana boleh mengelakkan sakit pinggang.
Terdapat pelbagai tips yang boleh diamalkan oleh para ibu mengandung. Antaranya adalah:
- Meletakkan ‘heating pad’ pada bahagian pinggang yang sakit. Hal ini akan dapat membantu mengurangkan kesakitan.
- Wanita hamil dikehendaki mendapatkan rehat secukupnya . Hal ini boleh dilakukan dengan berbaring dan merehatkan bahagian pinggang dan bahagian belakang. Apabila wanita tersebut berbaring, maka postur badan dapat diluruskan serta melegakan sebarang sakit pinggang atau sakit belakang.
- Wanita hamil juga dinasihatkan untuk melakukan senaman ringan yang mudah . Ini dapat membantu melonggarkan sendi pinggang serta memudahkan proses bersalin.
Akan tetapi, jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Jika anda mempunyai keraguan, kami nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih tepat. Anda juga boleh klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor pakar kami secara peribadi. Terima kasih