nita
4 tahun
Saya kurus, tapi mak ayah saya ada kolesterol tinggi
Saya kurus, tapi mak ayah saya ada kolesterol tinggi, mungkin ke saya akan ada kolesterol tinggi juga?
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall)untuk bercakap dengan pihak kami.
Golongan obesiti sering dikaitkan dengan masalah kolesterol. Sebenarnya orang yang kurus pun berisiko mengalami masalah kolesterol tinggi. Kadar kolesterol tidak boleh diukur hanya dengan melihat berat badan dan indeks jisim tubuh (BMI). Kegemukan melibatkan penyimpanan kolesterol di bawah kulit manakala masalah berlebihan kolesterol melibatkan pengumpulan kolesterol di dinding saluran darah.
Kolesterol tinggi disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya adalah pemakanan yang tidak sihat, kekurangan aktiviti fizikal, obesiti, peningkatan umur, merokok dan sejarah keluarga.
Kolesterol tinggi boleh dielakkan melalui gaya hidup yang sihat. Pertama sekali, makan secara sihat. Kurangkan pengambilan lemak tepu dan lemak trans.
Contoh sumber lemak tepu ialah susu dan hasil tenusu penuh lemak dan santan. Contoh sumber lemak trans ialah marjerin, makanan sejuk beku, makanan segera, makanan bergoreng dan produk bakeri. Kurangkan pemgambilan makanan tinggi kolesterol. Pengambilan organ dalaman seperti hati, jantung dan ginjal perlu dielakkan. Makanan laut seperti sotong, udang, ketam dan kerang-kerangan harus diambil secara tidak berlebihan.
Masak dengan minyak sayuran seperti minayk zaitun dan minyak bunga matahari. Tingkatkan pengambilan serat. Serat makanan boleh membantu menurunkan tahap kolesterol. Sumber serat yang baik termasuk hasil bijirin mil penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Seterusnya, lakukan aktiviti fizikal ringan hingga sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu ataupun aktiviti yang berintensiti tinggi 20 minit 3 kali seminggu, seperti berjalan laju, berbasikal, dan berenang. Anda juga harus mengekalkan berat badan yang ideal. Penurunan berat badan yang disyorkan pada peringkat permulaan adalah sebanyak 10% daripada berat badan asal dalam tempoh 6 bulan.
Bukan itu sahaja, sekiranya anda merokok, anda boleh berhenti dengan kaedah-kaedah seperti terapi gantian nikotin, dapatkan sokongan dan menjauhkan diri dari tempat orang merokok.
Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian. Terima kasih.