
Sulit
4 tahun
Terlalu Kerap Kencing
Salam doc,
Pengenalan sahaja,saya wanita pertengahan 30an dan sudah berkahwin tahun lepas.Belum mempunyai anak dan pernah membuat pembedahan cyst.
Saya ingin mendapatkan penjelasan,normal ke kalau terlalu kerap membuang air kecil?
Saya sedang mengalaminya.Purata sehari,sejam sekali mesti nak buang air kecil.Keadaan tambah buruk kalau waktu sejuk.Nak kata banyak minum air pun tak juga.Keadaan ini membuatkan saya tidak nyenyak tidur malam.Setiap malam selalu bangun 2 3 kali untuk ke tandas.Keadaan ini juga menyukarkan saya untuk membuat perjalanan jarak jauh.Selalu rasa hendak ke tandas sahaja.
Air kencing juga berbuih dan purata sejam sekali itu,kuantiti air kencing yang banyak.
Saya juga kadang2 rasa kencing macam tak lawas.Baru saja buang air tapi tak lama tu rasa nak terkencing lagi.Kalau rasa macam tu,kuantiti air kencing sedikit sahaja.
Keadaan ini bermula dalam 3 4 bulan lepas.saya tidak mengambil sebarang ubat-ubatan termasuk pil perancang atau sebagainya.
Boleh ke doktor jelaskan situasi saya?adakah saya perlu mengambil apa-apa ubat?dan bolehkah doktor cadangkan makanan @ minuman untuk masalah saya ini?ada yang cakap sesuai untuk minum barli untuk kencing tak lawas.betul ke doktor?
Minta penjelasan.Terima kasih.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diberi.
Jawapan diberi hanyalah jawapan am mengenai masalah anda.
Berdasarkan keterangan anda di atas, kami memahami kebimbangan anda mengenai masalah kerap membuang air kecil sekerap setiap 1 jam sekali dan anda mendapati kencing anda berbuih dan dalam kuantiti yang banyak.
Masalah dari segi pembuangan air kecil ini boleh disebabkan oleh sama ada masalah buah pinggang ataupun masalah pundi kencing. Namun ia juga boleh disebabkan oleh penyakit kronik dalaman yang boleh mengganggu sistem buah pinggang. Gejala yang anda lalu ini adalah dikenali sebagai Polyuria dan ia boleh disebabkan oleh:
- Meminum air yang terlalu banyak ataupun mempunyai penyakit yang menyebabkan kehausan yang berlebihan seperti Diabetes Insipidus.
- Jangkitan kuman pada pundi kencing
- Masalah buah pinggang yang tidak bertindak balas pada hormon vasopressin. Ia boleh disebabkan oleh buah pinggang rosak
- Buah pinggang rosak yang boleh disebabkan oleh penyakit keradangan atau jangkitan kuman pada buah pinggang
- Diabetes Insipidus iaitu penyakit diabetes yang menyebabkan kehausan yang tidak terkawal dan air kencing yang tidak pekat.
- Diabetes mellitus yang boleh menyebabkan buah pinggang rosak
- Penyakit sel darah seperti Sickle cell anemia
- Masalah mental yang menyebabkan kehausan berlebihan. (Psychogenic Polydipsia)
- Kanser buah pinggang.
- Penggunaan ubat-ubatan buah pinggang seperti diuretics, lithium, cidofavir.
- Penyakit keradangan yang umum seperti sarcodoisis dan amylodoisis
Kami sarankan anda mencuba yang berikut bagi mengawal masalah anda ini:
- Kurangkan makan makanan yang manis dan bahan asid tinggi.
- Kurangkan makanan yang mengandungi protein tinggi seperti daging dan makanan laut.
- Kurangkan minum alkohol dan minuman yang mengandungi kaffeine juga tabiat lain seperti merokok.
- Banyakkan makanan yang tinggi dengan vitamin seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Minuman jus buah-buahan dikecualikan.
- Kurangkan stress dan kegelisahan
- Cuba lakukan senaman Kegel untuk menguatkan otot yang mengawal laluan kencing.
Kami sarankan anda berjumpa dengan doktor anda sekiranya anda mengalami simptom-simptom lain seperti sakit belakang, keruaman, mudah terluka atau lebam, pening atau sakit kepala, hilang kesedaran, masalah penglihatan, dan juga kaki bengkak.
Untuk makluman anda, antara kebaikan barli yang diketahui ialah:
- Bagus untuk kesihatan jantung dan tekanan darah
- Mengandungi pelbagai vitamin
- Membantun mengawal keradangan
- Memperbaiki kesihatan tulang
- Membantu kesihatan usus dari segi pencernaan dan juga mengurangkan risiko sembelit
Namun, air barli hanyalah makanan tambahan semata-mata dan kami tidak sarankan untuk bergantung secara langsung dengan minuman ini sebagai rawatan yang tetap. Kami lebih cadangkan anda berjumpa dengan doktor anda bagi mendapatkan rawatan yang sesuai.
Anda juga boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Terima kasih.