
Sulit
4 tahun
Adakah istihadah penghalang mengandung?
Kalau seseorang haidh dia tidak akan mengandung ketika itu tapi kalau istihadah berlaku adakah dia boleh mengandung atau tidak??

4 tahun
Terima kasih atas soalan anda
Istihadah bermaksud pendarahan wanita yang tidak normal apabila berlaku di luar tempoh kitaran haid ataupun dari segi kuantiti pendarahan. Pendarahan jenis ini berpunca daripada organ rahim dan bukannya dari pundi kencing atau kecederaan pada bahagian kemaluan untuk digelar sebagai istihadah. Masalah istihadah ini merupakan sesuatu gejala dan bukannya punca penyakit. Gejala istihadah adalah seperti berikut:
- Pendarahan yang tidak menentu. Pendarahan yang berlaku secara rambang dan tidak mengikut kitaran haid.
- Pendarahan yang terlalu kerap atau berterusan. Pendarahan yang berlaku kurang daripada 21 hari selepas kitaran haid terakhir digelar “polymenorrhea” dalam istilah perubatan.
- Pendarahan dalam kuantiti yang melampau banyak. Biasanya, dalam satu kitaran haid jumlah darah yang dikeluarkan adalah 10 ml hingga 80 ml sahaja dan tidak melebihi 7 hari. Sekiranya pendarahan melebihi 80ml ataupun 7 hari dikenali sebagai “menorrhagia.” Sebagai contoh, pendarahan melebihi 80 ml juga boleh disamakan dengan sehelai tuala wanita yang penuh dalam masa satu jam.
Punca istihadah boleh dibahagikan kepada beberapa kategori, iaitu masalah hormon, masalah fizikal serta masalah perubatan sistemik.
Untuk memahami punca masalah hormon, kita haruslah memahami serba sedikit mengenai proses yang berlaku dalam satu kitaran haid yang biasa. Sejenis hormon dihasilkan untuk menyebabkan ovum menjadi matang dan keluar dari ovari ke rahim. Dinding rahim menjadi tebal sebagai persediaan untuk penanaman ovari pada dinding rahim. Sekiranya wanita tersebut tidak mengandung, dinding rahim ini akan berderai dari badan melalui pendarahan haid.
- Apabila hormon seseorang tidak stabil maka ovum tidak akan matang untuk dikeluarkan dari ovari ke rahim sekali gus mengakibatkan hormon estrogen yang berterusan menjadikan dinding rahim lebih tebal dari biasa. Dinding rahim akan luruh sedikit demi sedikit lalu mengakibatkan istihadah. Fenomena ini dipanggil “anovulatory dysfunctional uterine bleeding” dalam Bahasa Inggeris. Pendarahan tidak abnormal ini kebiasaannya tidak melibatkan senggugut. Masalah hormon ini lazimnya berlaku dalam kalangan wanita yang baru akil baligh ataupun yang sudah hampir putus haid.
Punca istihadah yang kedua merupakan masalah fizikal yang melibatkan masalah rahim tidak normal. Contohnya:
Polyp endometrium. Polyp” merupakan ketumbuhan pada lapisan paling dalam rahim. Polyp ini tidak berbahaya kepada wanita tetapi mudah berdarah.Fibroid merupakan ketumbuhan dalam lapisan otot rahim yang berlaku dalam 10% hingga 40% para wanita. Ketumbuhan fibroid ini selalunya tidak mendatangkan sebarang gejala tetapi jika terlalu membesar boleh menyebabkan senggugut serta pendarahan yang berlebihan sehingga menyebabkan komplikasi anemia.
Kanser. Kanser serviks merupakan kanser ketiga paling tinggi dihidapi wanita di negara ini dan simptom istihadah boleh dijumpai pada kanser serviks dan kanser endometrium. Justeru itu, para wanita dinasihati untuk menjalankan pemeriksaan oleh pakar sakit puan sekurang-kurangnya sekali dalam 3 tahun terutamanya wanita yang berusia lanjut.
“Polycystic ovarian syndrome (PCOS).” Wanita yang menghidapi penyakit ini mempunyai masalah hormon yang menjadikan ovum mereka sukar matang. Wanita tersebut jarang mendapat haid ataupun kitaran haid atau kuantiti pendarahan yang tidak menentu. Biasanya wanita tersebut mempunyai masalah kemandulan dan obesiti.
“Intrauterine Copper Device (IUCD).” Alat ini merupakan sesuatu alat tembaga kecil yang dimasukkan ke dalam rahim untuk mencegah kehamilan. Kadang-kala, ia boleh menyebabkan istihadah.
Endometriosis. Penyakit ini disebabkan oleh pertumbuhan sel dinding rahim di luar lokasi rahim, contohnya usus, otot, faraj dan sebagainya. Penyakit ini menyebabkan senggugut yang teruk dan pendarahan yang tidak menentu.
Di samping itu, masalah sistem badan juga boleh menyebabkan istihadah. Contohnya:
Masalah tiroid. Kandungan hormon tiroid terlalu tinggi (hypertiroid) atau rendah (hypothyroid).
Pengambilan ubat-ubatan tertentu. Misalnya pengambilan ubat cair darah ataupun ubat tradisional yang tidak dikawal.
Masalah pembekuan darah. Wanita yang mempunyai masalah darah terlalu cair akan mengalami pendarahan yang amat banyak akibat masalah pembekuan darah.
Berkenaan dengan kebarangkalian untuk mengandung, ia bergantung kepada punca yang menyebabkan darah istihadah tersebut. Oleh itu, punca bagi masalah ini perlu untuk dikenalpasti terlebih dahulu sebelum berbincang tentang isu kehamilan.
Saya sarankan anda berjumpa dengan doktor jika masalah ini berterusan. Untuk mengetahui punca sebenar masalah yang anda hadapi, maklumat lanjut tentang latar belakang kesihatan anda, pemeriksaan dan ujian mungkin perlu dijalankan. Anda disarankan untuk merujuk masalah ini dengan lebih lanjut. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara atas talian. Terima kasih.