
humiraa
5 tahun
Adakah penyakit tiroid membawa maut?
Salam sejahtera doktor.
Saya ingin bertanya, adakan penyakit thyroid boleh membawa maut dalam masa yang singkat? Atau membawa maut jika tidak dirawat dalam beberapa hari?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
5 tahun
Hai, terima kasih kerana mengemukakan soalan anda.
Penyakit tiroid jarang menyebabkan kematian kecuali jika paras hormon tiroid terlalu rendah atau terlalu tinggi. Jika paras hormon tiroid terlalu rendah, “myxedema coma” boleh berlaku. “Myxedema coma” merupakan kes hipotiroidisme yang paling serius. Orang yang mengalami “myxedema coma” boleh hilang kesedaran ataupun koma. “Myxedema coma” boleh menyebabkan suhu badan jatuh mendadak dan mengakibatkan kematian.
Jika paras hormon tiroid terlalu tinggi, “thyroid storm” boleh berlaku. Keadaan ini boleh menyebabkan denyutan jantung laju, demam panas, hilang kesedaran dan boleh membawa maut. Kedua-dua masalah ini dapat dielakkan dengan rawatan agar hormon tiroid tidak terlalu rendah atau terlalu tinggi. Ia tidak mengancam nyawa pesakit hanya kerana mereka tidak menerima rawatan dalam beberapa hari.
Rawatan hipotiroidisme (kelenjar tiroid tidak aktif atau mengeluarkan terlalu sedikit hormon tiroksin):
- Pesakit hipotiroidisme perlu mengambil pil sintetik hormon tiroid sepanjang hayat untuk mengganti hormon tiroid yang tidak dihasilkan oleh kelenjar tiroid. Rawatan selalunya dimulakan dengan dos paling rendah dan dinaikkan secara perlahan-lahan setiap kali pesakit pergi untuk rawatan susulan. Ujian tiroid akan dilakukan secara berkala untuk memastikan rawatan ini berkesan untuk pesakit. Dos ubat akan ditukar dari masa ke masa berdasarkan keputusan ujian tiroid.
Rawatan hipertiroidisme (kelenjar tiroid mengeluarkan terlalu banyak hormon tiroksin):
- Pengambilan ubat-uabtan seperti Prophythiouracil dan Carbimazole – Ubat-ubatan ini digunakan untuk mengehadkan penghasilan hormon tiroid yang berlebihan dalam kelenjar tiroid.
- Pengambilan ubat penghalang Beta seperti Propanolol – Ubat ini mengurangkan kadar denyutan jantung yang cepat atau berdebar-debar.
- Radioaktif iodine: Radioaktif iodine berfungsi untuk memusnahkan sel-sel kelenjar tiroid. Rawatan ini berisiko untuk menghapuskan terlalu banyak sel-sel tiroid dan menyebabkan penghasilan hormon tiroid yang tidak mencukupi.
- Pembedahan: Pembuangan seluruh atau sebahagian kelenjar tiroid. Rawatan ini berisiko untuk menyebabkan penghasilan hormon tiroid yang tidak mencukupi atau kecederaan saraf yang menyebabkan suara menjadi serak atau lemah.
Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian. Terima kasih.