
Sulit
5 tahun
Adakah saya kemurungan?
Saya seorang surirumah berusia 30 tahun, yang mempunyai 2 orang anak. Anak - anak saya masing masing berumur 6 dan 4 tahun. Normal ke saya berasa stress setiap hari? Saya tak gembira berada di rumah. Saya sentiasa marahkan anak anak saya. Kalau silap sikit pun saya akan mengamuk marahkan mereka. Saya rasa tak bahagia. Saya boleh menangis secara tiba tiba. Sebelum kahwin, saya seorang yang happy go lucky. Tapi selepas kahwin dan mempunyai anak, saya dah tak macam diri saya yang dulu. Saya kuat marah, saya boleh menangis secara tiba tiba, kadang kadang saya rasa benci dengan suami saya. Bila saya stress, saya cenderung untuk makan makan dan makan. Saya rasa makan tu satu terapi utk saya. Saya juga selalu rasa malas untuk melakukan apa apa aktiviti. Saya malas nak kemas rumah, nak masak, nak layan anak anak atau apa saja. Saya cuma nak berbaring tanpa buat apa apa. Saya selalu rasa diri saya buruk, tak berguna, dan menyusahkan orang lain. Saya selalu rasa kalau saya mati, lebih menyenangkan untuk orang sekeliling saya. Saya terfikir ‘Kan bagus kalau aku mati sekarang’. Saya selalu rasa nak lari dari rumah tinggalkan segalanya. Apa yg terjadi pada saya sebenarnya? Bagaimana nak mengatasi masalah ni? Saya tak gembira macam ni.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
5 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Berdasarkan keterangan di atas, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang dihadapi. Untuk makluman pihak anda, masalah depressi mempunyai pelbagai simptom seperti:
• Kesedihan atau “kekosongan” perasaan yang berpanjangan
• Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti
lain yang biasanya mendatangkan keseronokan
• Cepat rasa letih dan tidak bertenaga
• Perasaan pesimistik dan mudah putus asa
• Perasaan bersalah
• Rasa diri tidak berguna
• Gangguan tidur (bangun terlalu awal atau berlebihan tidur)
• Hilang selera makan dan penurunan berat badan
• Mempunyai pemikiran untuk mengambil nyawa sendiri atau pernah mencuba untuk mengambil nyawa sendiri
• Rasa tidak tenteram dan mudah marah
• Kurang daya tumpuan dan ingatan
• Sukar membuat keputusan
• Simptom fisiologi seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan
gangguan penghadaman
• Kurang nafsu seksual
• Pergerakan menjadi terhad/ kaku atau menjadi resah gelisah
• Mudah cemas atau fobia
Namun demikian, masalah kesihatan lain atau masalah psikiatri lain boleh juga dikaitkan dengan simptom-simptom yang telah anda adukan. Untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada pakar psikiatri supaya masalah ini dapat ditangani. Klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Selain itu, sekiranya anda rasa seperti anda memerlukan tempat mengadu, anda boleh hubungi Befrienders di nombor 03-7956 8145. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.