
Sulit
4 tahun
Demam ringan tidak berkurang setelah makan paracetamol
Saya berusia 26 tahun. empat hari lepas saya mengalami demam, batuk, selsema. setelah mengambil ubat dari doktor, batuk dan selsema saya telah berkurang tapi demam saya tidak berkurang walaupun dah menghabiskan 1 papan paracetamol. demam yang rasa rasakan ini tidaklah begitu teruk. saya masih ada selera makan, dan badan tidak menggigil. cuma rasa kerap mengantuk sahaja

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Hai! Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan doktor.
Kami memahami kebimbangan yang anda hadapi iaitu demam. Namun begitu, kami memerlukan maklumat yang lebih terperinci daripada anda sebelum sebarang kesimpulan mengenai punca sebenar masalah demam yang anda hadapi. Maklumat seperti rekod kesihatan anda, sejarah pemakanan anda dan situasi persekitaran anda adalah diperlukan. Walaubagaimanapun, demam ringan atau berat dapat berpunca daripada banyak perkara , antaranya ialah:
- Jangkitan virus penyebab kepada selsema, sakit tekak dan cirit-birit
- Jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia), batuk kering (TB) dan jangkitan saraf (meningitis)
- Demam malaria/denggi/HIV
- Penyakit sendi
- Ubat seperti antibiotik dan sebagainya
- Barah/Kanser
Penyakit di atas hanyalah senarai yang memungkinkan sahaja. Sebelum menetapkan sesuatu penyakit kepada seseorang indvidu, pemeriksaan fizikal adalah diperlukan bagi mendapatkan rawatan yang tepat dan terbaik. Jadi, anda perlu bawa bertenang dahulu. Kami cuba membantu anda. Baiklah, perkara yang perlu dilakukan dirumah ketika demam yang ringan <38°C dan tiada komplikasi adalah :
- Minum air atau cecair dengan kerap untuk menambah kehilangan bendalir dalam badan.
- Makan makanan ringan dan mudah hadam seperti sup
- Cuba mandi dengan menggunakan air suam untuk meredakan demam.
- Berpakaian longgar, jangan berselimut kerana ini akan meningkatkan suhu badan.
- Makan ubat seperti paracetamol dengan jumlah yang tepat untuk meredakan demam
- Mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan abdomen dengan tuala basah boleh juga menurunkan suhu badan
Sekiranya langkah berikut tidak dapat menyembuhkan demam anda, dan memandangkan anda sudah menghabiskan satu papan paracetamol, saya menasihati anda untuk berjumpa dengan doktor terutamanya sekiranya anda baru pulang dari luar negara. Tambahan, cara pengambilan paracetamol anda juga perlu disemak / dirujuk semula oleh doktor. Berkenaan rasa mengantuk yang anda alami, nasihat saya, luangkan masa untuk tidur. Tidur yang cukup dan rehat juga adalah diperlukan untuk sembuh daripada demam. Berikan waktu kepada badan anda rehat daripada kesibukan harian anda.
Anda demam? Periksa suhu anda dan dapatkan kelegaan segera.
Jika anda mempunyai keraguan, kami nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih tepat. Anda juga boleh klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor pakar kami secara peribadi. Terima kasih
Demam mungkin berpunca daripada penyakit serius. Dapatkan nasihat Pakar sekarang!