
vaneedah
5 tahun
Doktor kalau ubat darah tinggi dah luput tarikh boleh makan lagi ke
Doktor kalau ubat darah tinggi dah luput tarikh boleh makan lagi ke? Saya ada banyak stok kat rumah.

5 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall)untuk bercakap dengan pihak kami.
Ubat yang sudah melepasi tarikh luput tidak boleh dimakan. Ubat-ubatan mengandungi bahan-bahan aktif dan tidak aktif untuk mengubat penyakit-penyakit. Bahan-bahan ini boleh tahan untuk suatu jangka masa yang tertentu sahaja.
Sekiranya ubat yang dimakan telah melepasi tarikh luput, ubat mungkin sudah tidak berkesan. Ubat darah tinggi mungkin telah mengalami degradasi kepada bentuk lain yang tidak aktif. Tekanan darah tidak boleh dikawali jika ubat tidak berkesan. Ini boleh menyebabkan anda mendapat komplikasi darah tinggi seperti penyakit jantung dan serangan angin ahmar.
Selain itu, ubat tersebut mungkin tidak selamat untuk diambil. Bahan-bahan dalam ubat boleh menjadi toksik dan menyebabkan keracunan ubat atau kesan sampingan yang tidak diingini. Kestabilan ubat boleh terjejas sekiranya terdedah kepada cahaya, suhu tinggi dan suasana lembap.
Tanda-tanda keracunan ubat termasuk rasa pening, mengantuk, loya, muntah, sakit perut, keletihan dan susah bernafas. Jika anda mengalami tanda-tanda ini, jumpa doktor anda dengan segera. Sekiranya ubat anda tidak dilabel dengan tarikh luput, anda boleh membuat anggapan bahawa ubat tersebut akan luput dalam tempoh enam bulan selepas anda beli. Perubahan dari segi bau, warna dan rupa juga boleh menunjukkan bahawa ubat sudah rosak.
Jangan buang ubat yang melepasi tarik luput ke dalam sumber air seperti sinki atau tandas kerana ini boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Loji kumbahan tidak mampu merawat sisa bahan kimia dalam air kumbahan, dan ini akan menyebabkan pencemaran sistem pengairan.
Selain itu, sisa ubat-ubatan boleh memasuki sistem pengairan dan seterusnya membahayakan hidupan akuatik sekiranya mereka mengandungi bahan kimia larut air. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk memulangkan semula ubat-ubatan tersebut ke klinik kesihatan atau hospital yang berdekatan agar pelupusan ubat boleh dilakukan dengan cara yang betul.
Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian. Terima kasih.