
Sulit
4 tahun
Getaran hujung jari berlarutan dan lenguh lengan
Salam doktor
Saya lelaki, umur awal 30an, tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sebelum ini. Bekerja secara syif siang dan malam yang tak menentu dan bukan peminat minuman berkafein. Mula aktif bersukan semula seawal jun.
Sudah tiga minggu mengalami getaran pada tangan dan jari kanan & kiri serta lenguh sendi lengan hingga bahu kanan. Pernah tahun lepas jari bergetar selama seminggu dan pulih sediakala dengan sendiri.
Telah jalani ujian darah di hospital kerajaan dan semua parameter gula, BP, hormon tiroid dan lain-lain pada paras normal. Doktor menyarankan temujanji untuk bertemu pakar bahagian saraf/neurologi pada awal September 2020.
Saya telah hentikan sebarang aktiviti sukan melibatkan jari dan tangan. Kesan getaran jari masih berlaku dan lenguh masih ada (typo ketika menaip hand phone dikesan selalu, dan tulisan tangan sedikit berubah)
Q1. Getaran masih berlarutan dan doktor pakar manakah saya perlu temui dahulu di pusat perubatan swasta samada ortopedik atau neurologi (saraf dan otak) ?
Q2. Adakah perlu lakukan CT Scan otak (tidak alami sakit kepala) ?
Q3. Boleh kah CT Scan dilakukan dalam tempoh rapat setelah swasta selang 2-3 minggu kemudian dengan khidmat Hospital Kerajaan pula ?
Harap dapat membantu saya doktor, saya ingin kembali sihat sediakala. Terima kasih

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Waalaikumsalam, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Berdasarkan keterangan di atas, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang dihadapi. Saya akan cuba untuk menjawab persoalan anda satu per satu.
Memandangkan anda telah berjumpa dengan doktor di hospital dan merekan menyarankan untuk anda berjumpa dengan doktor pakar, saya sarankan untuk mengikut arahan yang diberikan oleh doktor yang merawat anda. Hal ini kerana, berbanding dengan pihak kami, doktor di hospital mempunyai lebih banyak maklumat mengenai anda. Dari maklumat tersebut mereka berpendapat bahawa anda memerlukan pemeriksaan lanjut daripada doktor pakar neurologi berbanding orthopedik.
Untuk mengetahui keperluan melakukan CT scan, ianya bergantung dengan pemeriksaan yang dijalankan oleh doktor nanti. Kami tidak dapat untuk membuat keputusan sama ada anda memerlukan pemeriksaan tersebut atau tidak.
Pada radiasi dos yang rendah semasa imbasan CT, risiko untuk terkena barah adalah sangat kecil namun tidak boleh dinafikan kemungkinan peningkatan risiko sekiranya sering terdedah kepada radiasi ini, Oleh itu, sangat dinasihatkan untuk tidak melakukan pemeriksaan CT secara kerap kecuali ianya perlu. Bukan itu sahaja, imbasan yang dilakukan di hospital kerajaan serta swasta tiada perbezaan. Tambahan pula, saya berpendapat melakukan CT scan secara kerap untuk mencari punca masalah bergetar seperti yang anda alami mungkin tidak diperlukan
Akan tetapi, jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Untuk mengetahui lebih terperinci, maklumat lanjut serta pemeriksaan adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor.
Anda juga boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Terima kasih.