Sulit
4 tahun
Kesukaran bernafas disebabkan angin atau masalah kesihatan yang lain
Hai Doktor,
Saya wanita berumur 45 tahun, berat 69.4kg, tinggi 162cm.
Saya juga ada masalah gastrik dan angin sebelum ini…
Sejak seminggu yang lepas, saya kerap mengalami kesukaran untuk bernafas, saya tidak mengalami demam, batuk tetapi mengalami selsema untuk 1 hari sahaja, iaitu pada 12 Mac 2020 dan pulih setelah mengambil ubat selsema.
Masalah kesukaran bernafas juga reda apabila angin keluar daripada badan melalui sendawa setelah saya memakan ubat angin atau selepas saya meminum air panas.
Tetapi kesukaran bernafas terjadi lagi apabila saya berdiri atau duduk dengan lama atau selepas melakukan senaman ringan.
Boleh saya dapatkan nasihat daripada doktor mengenai masalah kesihatan yang saya alami sekarang?
Terima kasih.
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Hi. Terima kasih atas soalan yang diajukan.
Sekarang kita sedang mengalami wabak coronavirus. Oleh itu, kami memahami kebimbangan anda.
Untuk makluman anda, masalah sesak nafas boleh disebabkan oleh banyak perkara. Antaranya:
Anemia - kurang darah merah
Penyakit Asma
COPD: Masalah paru-paru sempit
Alahan
Penyakit jantung koronari
Seperti yang disenaraikan di atas, gejala jangkitan coronavirus sangat berkait rapat dengan penyakit lain. Untuk membuat kesimpulan mengenai masalah apa yang sedang anda hadapi, maklumat lanjut serta pemeriksaan diperlukan . Justeru, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor.
Selain itu, untuk membantu pakar perubatan membuat keputusan risiko seseorang individu terhadap jangkitan coronavirus ini haruslah diketahui. Anda digalakkan agar melakukan ujian penilaian risiko COVID-19 untuk menilai status kesihatan anda berkenaan dengan wabak ini. Melalui ujian ini anda akan dikelaskan kepada beberapa kategori dan ikuti nasihat yang tertera di penghujung kuiz untuk langkah seterusnya. Langkah ini adalah untuk mengurangkan kesesakan di hospital bagi melakukan ujian saringan COVID-19.
Buat masa sekarang, anda digalakkan untuk mengawasi gejala anda. Sekiranya ia semakin teruk atau berlarutan, sila berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
Anda juga boleh merujuk doktor KKM dengan klik Tanya Doktor Pakar KKM di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (COVID-19 Portal) untuk bertanyakan isu COVID-19 bermula dari jam 8.30 am hingga 5.00 pm.
Selepas jam 5.00 pm hingga 12.00 am, sila ajukan pertanyaan anda di laman sesawang DoctorOnCall pada link ini https://www.doctoroncall.com.my/tanya/
Di kesempatan ini juga saya ingin mengingatkan anda untuk tinggal di rumah seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa dan hanya keluar sekiranya perlu. Dengan kerjasama semua pihak, saya berharap wabak ini dapat dibendung sebelum ianya bertukar menjadi lebih parah. Terima kasih.