Sulit
2 tahun
Minum vitamin c untuk cegah covid-19
Hi doktor. Saya lelaki usia 28 tahun. Saya agak sedih sebab belum dapat vaksin covid-19, tapi saya pernah terbaca yang jika kita minum vitamin c, ia boleh cegah kita daripada dapat virus covid-19. Maksudnya vitamin c ni berkesan juga la ya untuk lawan jangkitan covid ni… Betul atau tidak, doktor?
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
2 tahun
Hai, terima kasih encik atas soalan yang diajukan.
Kami faham bahawa sekarang ini tular di internet tentang pengambilan vitamin C untuk pencegahan dan rawatan bagi jangkitan COVID-19, maka encik ingin mengetahui sama ada ianya benar ataupun tidak. Jangan risau, kami akan cuba untuk membantu encik.
Untuk makluman encik, secara umumnya, tiada bukti saintifik mengenai diet atau suplemen dapat mencegah atau merawat jangkitan COVID-19 dan vitamin C bukanlah rawatan yang diiktiraf untuk penyakit ini. Setakat ini, pakar perubatan seluruh dunia hanya menyepakati bahawa kaedah terbaik untuk melindungi diri daripada komplikasi jangkitan COVID-19 adalah dengan suntikan vaksinasi.
Vitamin C ataupun asid askorbik merupakan nutrien yang berfungsi sebagai antioksidan menghalang radikal bebas daripada merosakkan sel badan dan berperanan meningkatkan daya tahan badan daripada penyakit berjangkit seperti influenza atau selesema. Walaupun ianya mempunyai manfaat dalam mencegah dan merawat radang paru-paru yang tertentu, akan tetapi, tiada data secara spesifik yang mengatakan bahawa vitamin C boleh mencegah virus COVID-19 daripada menjangkiti tubuh badan mahupun merawat kuman (virus) tersebut.
Pengambilan vitamin C hanya sebagai makanan tambahan untuk kesihatan sahaja dan bukan kaedah pencegahan COVID-19. Akan tetapi, jika anda ingin mengambil vitamin C, pastikan anda mengambilnya dengan jumlah dos yang disyorkan untuk orang dewasa iaitu 90 mg sehari. Kelebihan dos boleh menyebabkan masalah yang lebih serius kepada kesihatan tubuh badan, seperti:
- Masalah pada perut
- Masalah pada buah pinggang
Kami berharap jawapan ini dapat membantu encik. Jika encik masih memerlukan penerangan lebih lanjut berkenaan pertanyaan encik, encik boleh bercakap dengan doktor kami secara atas talian secara peribadi.
Terima kasih
Sila klik di sini untuk bercakap dengan doktor.
Sila layari https://covid-19.moh.gov.my/ untuk maklumat terkini dan garis panduan tentang COVID-19 dan Vaksinasi COVID-19
Untuk Membuat Janji Temu Vaksinasi COVID-19 Di Klinik Swasta, Klik Di Sini
Untuk Menempah Ujian PCR/Ujian RTK COVID-19, Klik Di Sini