
Hairi
6 tahun
Najis hitam dan saya menghadapi pedih ulu hati. Makin teruk bila makan
Hi Doktor. Saya lelaki berusia 28 tahun. Saya adalah seorang perokok tegar. Saya mempunyai penyakit gastrik. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, najis saya bewarna hitam ketika membuang air besar. Ada kalanya terdapat cairan hitam yang keluar ketika saya membuang air besar. Pernah juga ada darah (fresh blood) yang keluar bersama najis itu. Tetapi sejak seminggu yang lepas, saya menghidapi pedih ulu hati & senak di bahagian atas perut. Pada mulanya saya fikir itu hanyalah angin akibat daripada lewat makan. Akan tetapi, pedih ulu hati tersebut berpanjangan sehingga sekarang. Saya juga mempunyai masalah constipation sejak seminggu lalu. Saya juga hilang selera makan. Apabila saya makan, ulu hati saya semakin pedih & saya muntah. Adakah ini simptom biasa untuk masalah gastrik atau saya ada penyakit yang lebih serius? Terima kasih, Doktor.

6 tahun
Salam sejahtera. Simptom yang diceritakan ini menunjukkan kemungkinan terdapatnya pendarahan di bahagian atas saluran gastrousus seperti dari esofagus (saluran yang menyambungkan tekak dan perut), perut atau bahagian usus selepas perut (duodenum).
Apabila menggabungkan simptom najis hitam bersama dengan sakit selepas makan, saudara berkemungkinan mempunyai penyakit ulser peptik (luka di dinding perut). Sekiranya pendarahan segar yang juga anda alami sememangnya berkaitan dengan ulser tersebut.
Saudara juga menunjukkan tanda-tanda penyakit refluks gastroesofagus yang menyebabkan tanda-tanda seperti rasa sakit atau sensasi terbakar di dada, terutamanya selepas makan atau berbaring dan regurgitasi makanan.
Penyakit-penyakit lain yang juga menyebabkan simptom-simptom saudara yang perlu dipertimbangkan ialah gastritis (keradangan lapisan perut), saluran darah luar biasa (angiodysplasia), urat di antara esofagus dan perut yang membesar akibat sirosis hati (varices) atau kanser esofagus, perut atau duodenum.
Oleh itu, untuk mengesahkan sebab keadaan saudara sekarang dengan tepat, penyiasatan lanjut yang lebih teliti diperlukan. Buat sementara waktu saudara patut menghentikan rokok dan mengurangkan makanan lewat malam untuk mengawal simptom-simptom anda. Kunjungilah doktor anda dengan segera untuk diperiksa dan dirawat.

6 tahun
Selamat pagi. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan DoctorOnCall. Berdasarkan penjelasan anda, anda mungkin sedang mengalami pedih ulu hati disebabkan oleh Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) yang juga telah menyebabkan pendarahan yang banyak di esophagus.
Perokok mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat GERD kerana nikotin di dalam rokok akan melonggarkan sphincter yang terdapat di bahagian sebelum perut untuk mencegah refluks asid daripada perut ke dalam esophagus menyebabkan rasa pedih. Cairan hitam yang anda alami merupakan hasil pendarahan yang telah dioksidakan oleh asid di dalam perut. Darah merah pada najis pula terjadi apabila pendarahan yang banyak berlaku. Jumlah pendarahan yang besar boleh mengakibatkan keadaan yang mengancam nyawa.
Keradangan berterusan pada lapisan esofagus berlaku di GERD dan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lain. Sekiranya proses ini berlangsung untuk masa yang lama, kandungan perut yang berasid boleh menyebabkan kerosakan pada lapisan esofagus anda. Oleh itu tujuan dalam rawatan adalah dua iaitu untuk menyembuhkan lapisan dinding esophagus, dan untuk menghalang refluks yang kerap. Selain ubat ubatan, adalah penting untuk melakukan perubahan gaya hidup seperti menghilangkan berat badan, mengurangkan pengambilan kopi dan alkohol, dan mengelakkan makan pada lewat malam dan mengelakkan untuk berbaring dengan serta-merta selepas anda makan.