
Sulit
4 tahun
Sakit dada di tengah-tengah selepas bangun pagi. Terasa seperti ada urat yang ketat di tengah dada
Saya lelaki umur 25 tahun telah berhenti merokok sejak 3 bulan yang lalu. Selapas saya berhenti saya merasakan dada kadang-kadang merasa ketat “pain upon movement”. Adakah ini salah satu tanda sakit jantung ataupun hanyalah urat sahaja.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera. Terima kasih untuk soalan anda.
Saya memahami kebimbangan anda. Namun, keluhan anda terlalu ringkas dan kurang memberi maklumat untuk membuat sebarang kesimpulan. Saya akan nyatakan simptom-simptom sakit jantung di bawah supaya anda boleh bandingkan dengan simptom yang anda alami:
Sakit dada- Pesakit kerap mengalami sakit dada secara tiba-tiba dan kebanyakan daripada mereka mengalami ketegangan dada atau sensasi dada dihempap sesuatu yang amat berat.
Peluh berlebihan- Pesakit akan mengalami peluh berlebihan dan sejuk secara tiba-tiba. Jika pesakit menghidap kencing manis, berpeluh tanpa sakit dada boleh berlaku.
Sakit pada bahu kiri dan rahang bawah kiri- Pesakit kadangkala mengalami simtom sakit pada bahagian bahu kiri atau rahang bawah kiri sebelum sakit dada atau sakit dada yang merebak kebahagian tersebut.
Mual/loya- Pesakit berasa loya atau mual sehingga menyebabkan muntah-muntah
Sesak nafas secara tiba-tiba- Pesakit boleh mengalami kesukaran bernafas secara tiba-tiba walaupun keadaan asal pesakit adalah normal
Palpitasi- Pesakit boleh mengalami jantung berdegup kencang atau perlahan berdasarkan lokasi dinding jantung yang terjejas akibat saluran darah tersumbat
Sakit epigastrik- Pesakit juga boleh mengalami sakit perut lebih-lebih lagi pada bahagian atas perut dan di bawah dada.
Selain serangan sakit jantung, penyakit jantung atau kegagalan fungsi jantung juga perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan fungsi jantung yang semakin merudum. Simptom- simptom tersebut adalah:
- Badan mengalami keletihan yang melampau serta mempunyai tenaga yang rendah
- Kesukaran bernafas pada waktu malam ataupun sewaktu tidur ketika baring
- Jantung berdebar kencang atau perlahan
- Kaki bengkak air
- Sakit dada apabila melakukan aktiviti berat
Faktor-faktor untuk sakit jantung adalah seperti:
- Jantina - lelaki lebih berisiko untuk mendapatkan sakit jantung
- Usia meningkat
- Genetik
- Merokok
- Kurang beriadah
- Stres
- Diet/Obesiti
- Kencing manis
Jika anda mendapati bahawa anda memiliki gejala-gejala serangan sakit jantung seperti sakit dada, loya, sakit pada bahu kiri dan rahang bawah, jantung berdegup kencang atau perlahan dan sebagainya, anda disarankan untuk menghadirkan diri ke bahagian kecemasan di hospital berkenaan. Anda perlu ke hospital secepat mungkin lebih-lebih lagi jika anda mempunyai risiko yang menyumbang kepada penyakit jantung. Walaupun anda mengalami gejala peluh secara berlebihan tanpa sakit dada, anda dinasihati untuk menghadirkan diri ke bahagian kecemasan.
Jangan tunggu sehingga sakit menyerang. Jaga jantung anda bermula sekarang.
Dapatkan penerangan lebih lanjut dan nasihat atau rawatan yang diperlukan di sini. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.
Sakit dada boleh disebabkan oleh masalah jantung. Dapatkan nasihat daripada pakar kardiologi