
Sulit
4 tahun
Salur darah berwarna gelap kelihatan di permukaan kulit
Kelihatan salur darah (urat) berwarna gelap muncul pada permukaan kulit saya. Ia muncul di belakang kaki saya (atas betis), bahagian ke luar kulit bawah lengan saya dan bahagian tengah belakang badan saya. Apabila saya menyentuhnya, saya tidak berasa sakit langsung. Saya mula sedar akan kemunculan salur darah berwarna ungu kehitaman tersebut sejak bulan Mei tahun lepas (2020). Ia semakin jelas kelihatan dari bulan ke bulan.
Jika maklumat ini juga diperlukan, saya ingin memberitahu bahawa berat badan saya telah naik mendadak dari 73 kg menjadi 90 kg sejak Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lepas. Saya tidak mahu membuat konklusi sendiri dengan menyatakan kemunculan urat tersebut adalah berpunca daripada berat badan saya yang naik mendadak. Saya ingin mendengar pendapat dan maklumat daripada pihak doktor.
Saya juga belum pergi ke hospital kerana mengambil kira risiko jangkitan Covid-19 di hospital tersebut kerana keadaan di sana sentiasa sesak dari pagi hingga malam. Oleh itu, saya ingin tahu apakah penyakit ini dan apa yang perlu saya lakukan dengan segera.
Terima kasih!

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih kerana menghubungi kami.
Kami faham situasi yang anda sedang hadapi. Untuk maklumat anda, kami kurang jelas dengan kenyataan anda berkenaan salur darah berwarna gelap. Namun begitu, ia mungkin berpunca daripada beberapa sebab berikut:
- Vena varikos (varicose vein) di mana salur darah timbul dan kembang disebabkan oleh injap salur darah yang tidak kompeten
- Peripheral venous disease
- Salur darah kecil pecah dan menyebabkan darah beku di kawasan tersebut
Namun begitu, ini hanyalah pandangan kami secara am dan maklumat lanjut adalah diperlukan untuk mengenal pasti masalah yang anda alami. Kami sarankan anda pergi ke klinik berhampiran untuk diperiksa oleh doktor terlebih dahulu sebelum pergi ke hospital.
Kami tidak dapat memberi diagnosis memandangkan anda perlu diperiksa dan rawatan hanya dapat diberikan berdasarkan diagnosis yang diberi koleh doktor yang memeriksa dan merawat anda.
Jika anda memerlukan pencerahan lanjut, sila hubungi kami di (DoctorOnCall) untuk berhubung dengan doktor kami dan mendapatkan pencerahan. Privasi anda akan kami jaga. Terima kasih.