
Erina
6 tahun
Saya menghidap hyperthyroid, bolehkah saya mengandung?
Sy menghidap hyperthyroid… umur sy 42 tahun dan suami mahukan anak… bolehkah sy mengandung doc.

6 tahun
Salam sejahtera.
Wanita yang menghidap penyakit hipertiroid boleh mengandung. Walau bagaimanapun, penyakit hipertiroid boleh menghalang ovulasi (pelepasan telur dari ovari) dan mengakibatkan kitaran haid yang tidak teratur. Dengan ovulasi yang tidak dapat dijangkakan, pesakit hipertiroid berpotensi mengalami kesusahan untuk menjadi hamil.
Masa terbaik untuk hamil adalah apabila hormon tiroid berada pada tahap yang optimum. Maksudnya, hipertiroid anda harus dikawal dengan baik terlebih dahulu sebelum hamil.
Propylthiouracil adalah ubat pilihan apabila anda sedang cuba hamil dan dalam tiga bulan pertama kehamilan.
Risiko yang dihadapi wanita hamil yang mempunyai hiptertiroid tidak terkawal termasuk keguguran, kematian janin serta risiko bagi penyakit-penyakit seperti kegagalan jantung, preeklampsia dan “thyroid storm”. Risiko kepada janin pula ialah hipertiroid janin, masalah pertumbuhan di dalam rahim, kelahiran tidak cukup bulan atau kecacatan.
Oleh itu, pesakit hipertiroid patut menerima kaunseling pra-kehamilan bagi menentukan rawatan terbaik untuk mengawal tahap tiroid, menerima maklumat mengenai kesan hipertiroid kepada anak dan untuk belajar tentang risiko-risiko ketika hamil.

6 tahun
Salam sejahtera.
Penyakit hipertiroid boleh menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur. Kitaran haid yang tidak teratur boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil kerana ia adalah sukar untuk menentukan tempoh kesuburan dalam kitaran haid. Jika kitaran haid anda adalah normal dan anda masih mengalami masalah mengandung, sila berjumpa dengan doktor secepat mungkin.
Wanita yang menghidap penyakit tiroid akan dipantau dengan teliti sepanjang kehamilannya, terutamanya bagi tiga bulan pertama dalam proses kehamilan. Hal ini demikian kerana trimester pertama dalam kehamilan merupakan tempoh bayi menggunakan hormon tiroid dari ibu untuk tumbesaran dan perkembangan otak mereka. Kekurangan hormon tiroid dalam tempoh ini akan menyebabkan komplikasi seperti bayi yang tidak cukup berat.
Umur anda yang agak tinggi juga akan membawa risiko kepada badan anda jika anda mengandung. Oleh itu, anda digalakkan untuk berbincang dengan suami dan doktor anda tentang kebaikan dan risiko untuk mengandung.