
Sulit
4 tahun
Upt kabur, missed period 2 hari. Adakah darah yg keluar ini adalah darah implantasi?
Hai saya wanita berumur 28 tahun. Saya sedang TTC untuk anak kedua.
Hai admin, mohon siarkan pertanyaan saya ya.
Saya check upt dari kabur dah semakin terang, cuma terang dia bukanlah terang sangat. Saya dah delay period dalam 2 hari. Tapi saya keliru sebab pagi ni macam ada darah turun. Darahnya bukan ketul2 pun. Adakah ini darah implantasi? Bila saya test upt line yang kedua tu mcm lebih samar dari sebelum ni.
Terima kasih.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Hai, terima kasih kerana menghubungi dan bertanyakan soalan kepada kami.
Kami faham mengenai kemusykilan anda tentang kit ujian kehamilan (UPT) tersebut.
Terlebih dahulu, sebelum mengatakan haid anda datang lewat, anda perlu mengetahui kitaran haid anda. Kitaran haid seseorang yang normal adalah antara 21 ke 35 hari dan haid biasanya berterusan selama dua ke tujuh hari. Walau bagaimanapun, kitaran haid boleh berubah disebabkan oleh beberapa faktor. Anda dinasihatkan supaya merekodkan kitaran haid anda di dalam diari.
UPT boleh menjadi positif kerana kit tersebut dapat mengesan hormon hCG pada air kencing anda dan terdapat beberapa sebab mengapa keputusan UPT boleh menjadi positif:
- Mengandung (dalam rahim ataupun di luar rahim)
- Keguguran
- Kehamilan kimia di mana telur yang berjaya disenyawakan tidak dapat diimplan pada dinding rahim kerana keadaan rahim yang tidak normal seperti fibroid, tisu parut pada rahim ataupun bentuk rahim yang tidak normal
- Kanser anggur ataupun dikenali sebagai Choriocarcinoma dalam terma perubatan
- Kesalahan pengguna di mana pengguna tidak menyemak tarikh luput kit tersebut ataupun membuat ujian terlalu awal.
Untuk menjawab soalan anda, darah tersebut berkemungkinan kerana implantasi. Ianya sering dikelirukan dengan darah haid apabila implantasi berlaku berhampiran dengan waktu datang haid.
Anda dinasihatkan agar berjumpa dengan doktor di klinik untuk pemeriksaan lebih lanjut untuk menentukan sama ada anda mengandung ataupun tidak.
Terima kasih kerana menghubungi kami. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan lebih lanjut, anda boleh hubungi doktor-doktor kami yang bertauliah di (DoctorOnCall) untuk mendapatkan konsultasi di atas talian.