Tips-tips Pengubahsuaian Gaya Hidup Yang Boleh Mengelakkan Penyakit Jantung

7 Cara Untuk Mencegah Dan Menurunkan Risiko Penyakit Jantung-DoctorOnCall
Anonymous
Hi doktor! Nama say Muthusamy dan umur saya 37 tahun. Saya tiada masalah kesihatan buat masa sekarang. Saya seorang perokok dan saya harus menghisap sekurang-kurangnya 4 batang sehari. Dalam keluarga sebelah bapa saya, ramai yang meninggal atau sedang menghidapi sakit jantung. Ayah saya sendiri meninggal disebabkan oleh serangan jantung. Keluarga sebelah ibu saya pula kebanyakan mempunyai masalah kencing manis. Oleh itu, saya khuatir tentang risiko untuk saya mendapat sakit jantung. Saya ingin sedikit pencerahan tentang langkah-langkah yang boleh saya ambil untuk mengelakkan penyakit jantung. Mohon jasa baik doktor untuk tolong jelaskan serba-sedikit tentang topik ini. Terima kasih.
Anonymous
Hi doktor! Nama say Muthusamy dan umur saya 37 tahun. Saya tiada masalah kesihatan buat masa sekarang. Saya seorang pero... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Hi Muthusamy. Terima kasih untuk soalan anda. Untuk makluman anda, penyakit jantung iskemia merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia.Masalah ini lebih lazim dalam kalangan kaum lelaki dan yang berumur 41 ke atas. Oleh kerana anda mempunyai sejarah keluarga dan seorang perokok, risiko untuk mendapat sakit jantung memang ada. Umur meningkat juga merupakan faktor risiko tetapi faktor ini tidak dapat diubah. Penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis boleh menyumbang kepada pembentukan masalah jantung. Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan kejadian ini. Dedikasi dan disiplin adalah penting untuk mengubah gaya hidup yang kurang sihat. Saya akan jelaskan dengan lebih mendalam dalam artikel ini.
Hi Muthusamy. Terima kasih untuk soalan anda. Untuk makluman anda, penyakit jantung iskemia merupakan pembunuh nombor sa... See More

Amalkan Diet Jantung Sihat

Diet merupakan faktor risiko yang sering kali diambil mudah tetapi paling penting untuk mengelakkan anda daripada mendapat pelbagai penyakit. Makanan punca sakit jantung  yang paling lazim dalam kalangan masyarakat kita ialah makanan bergoreng, makanan bersantan dan makanan manis. Pengambilan diet yang sihat boleh melindungi jantung anda, mengelakkan darah tinggi dan risiko untuk kencing manis. Diet jantung sihat merangkumi:

  • Sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Kacang dan kekacang
  • Daging tanpa lemak dan ikan
  • Makanan tenusu rendah lemak atau tanpa lemak
  • Bijiran penuh
  • Lemak sihat seperti minyak zaitun

Dua contoh diet yang boleh diikuti ialah “Dietary Approaches to Stop Hypertension” atau DASH dan diet Mediterranean yang meliputi cara memasakmakanan untuk kurangkan sakit jantung.Kedua-dua diet ini bagus untuk jantung kerana kurang:

  • Garam
  • Gula
  • Karbohidrat yang telah diproses
  • Alkohol
  • Lemak tepu dan lemak trans

Pemeriksaan Kesihatan Rutin

Darah tinggi dan kolesterol tinggi boleh menyebabkan penyakit jantung yang digeruni semua orang. Tanpa pemeriksaan kesihatan, anda tidak akan sedar bahawa anda mempunyai penyakit ini. Pemeriksaan kesihatan rutin akan mencatatkan bacaan tekanan darah dan kolesterol  anda dari semasa ke semasa. Sekiranya nombor yang dicatatkan menandakan anda mungkin mempunyai masalah tinggi kolesterol atau hipertensi, anda boleh terus berjumpa dengan doktor untuk membincangkan langkah seterusnya dalam memastikan kesihatan anda tetap terjamin. Sekiranya boleh, anda harus menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun terutamanya jika anda mempunyai sejarah keluarga berkaitan hipertensi, kolesterol tinggi dan kencing manis setelah umur anda mencecah 35 tahun.

Berhenti Tabiat Merokok

Merokok merupakan faktor risiko untuk pelbagai penyakit dari sakit jantung, kanser paru-paru, kanser payudara dan sebagainya. Kesan buruknya sering diuar-uarkan dalam iklan dan infografik tetapi masih ramai yang menghisap rokok. Merokok senang menjadi tabiat kerana bahan kimia nikotin yang menyebabkan ketagihan. Perokok bukan sahaja membahayakan kesihatan mereka sendiri tetapi juga orang di sekeliling mereka. Bahan kimia lain dalam rokok tembakau boleh merosakkan jantung dan saluran darah anda. Asap rokok mengurangkan oksigen dalam darah anda, lalu menyebabkan tindak balas sistem badan anda untuk meningkatkan tekanan darah dan kadar degupan jantung. Jantung anda terpaksa bekerja lebih keras untuk terus membekalkan oksigen ke seluruh badan dan yang paling penting, otak anda.

Berita baiknya ialah apabila anda berhenti merokok, risiko anda untuk mendapatkan sakit jantung terus menurun dalam masa sesingkat satu hari. Setelah berhenti merokok dalam setahun, risiko anda untuk mendapat sakit jantung adalah setengah daripada seorang perokok. Oleh itu, cara mencegah penyakit arteri koronerialah berhenti merokok. Klinik-klinik kesihatan mempunyai klinik berhenti merokok yang boleh membantu memberi anda dorongan dan sokongan untuk berhenti merokok. 

Hadkan Minuman Alkohol

Alkohol yang diambil secara berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah anda meningkat dan juga memberi anda lebih kalori yang akan menambahkan berat anda. Kedua-dua faktor ini meningkatkan risiko anda untuk mendapatkan sakit jantung. Di samping itu, alkohol juga merupakan faktor risiko dalam banyak penyakit lain seperti penyakit hati, kanser perut, kanser payudara dan sebagainya. Terdapat kajian yang menunjukkan wain merah mempunyai faktor pelindung kepada jantung jika diambil secara berkala dan sedikit. Lelaki dihadkan pengambilan alkohol sebanyak 2 gelas dan wanita sebanyak satu gelas sahaja dalam sehari.

Rajinkan Bersenam

Aktiviti bersenam mempunyai pelbagai manfaat seperti menguatkan hati anda dan menambahbaikkan pengaliran darah anda. Langkah ini merupakan cara mencegah jantung tersumbat. Aktiviti fizikal juga membantu anda mengurangkan berat badan yang berlebihan, merendahkan kolesterol dan tekanan darah.Anda disarankan untuk bersenam 5 kali seminggu selama 30 minit dengan senaman yang sederhana intensitinya. 

Belajar Mengendalikan Stres

Stres merupakan faktor yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung. Ia boleh meningkatkan tekanan darah anda. Stres yang keterlaluan boleh menjadi pencetus kepada serangan jantung. Tambahan pula, ramai yang memaling kepada makan secara berlebihan, minum alkohol secara berlebihan dan merokok untuk menangani stres. Tabiat ini sangat berbahaya untuk jantung anda sekiranya berterusan untuk jangka masa yang lama. 

Terdapat beberapa langkah yang mudah untuk menangani stres seperti bersenam, mendengar muzik, menumpukan perhatian anda kepada sesuatu yang menenangkan anda seperti melukis dan bertafakur.

Tidur Dengan Cukup

Ramai yang tidak menyedari kepentingan rehat dan tidur yang secukupnya. Tabiat sering kurang tidur atau tidak tidur akan membahayakan kesihatan anda. Mereka yang kurang tidur mempunyai potensi untuk obesiti, hipertensi, serangan jantung, kencing manis dan kemurungan.

Anda disarankan untuk menetapkan waktu tidur yang tetap seperti tidur awal dan bangun awal. Orang dewasa biasanya memerlukan 7-9 jam tidur. Sekiranya anda mempunyai masalah tidur, anda digalakkan untuk merujuk perkara ini kepada doktor anda.

References