Sulit
2 tahun
Berdarah selepas bersama ketika di hujung tempoh haid
Hi, saya berumur 22 dan mempunyai sejarah masalah period yang berpanjangan. Saya pernah mengamalkan pil perancang dan memasang IUD (Mirena) tetapi tidak berkesan dengan badan saya. Baru-baru ini, saya telah bersama dengan pasangan saya dan mengalami pendarahan selepas itu. Akan tetapi, ianya berlaku selepas 2 hari tamat tempoh haid saya. Adakah ia berkemungkinan disebabkan darah haid yang tersumbat? Atau ia berpunca daripada penyakit lain?
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
2 tahun
Salam Sejahtera,
Terima kasih kerana mengajukan soalan anda.
Kami memahami anda mempunyai sejarah haid berpanjangan. Kini anda mengalami pendarahan selepas bersama dengan pasangan anda. Kami akan cuba membantu anda.
Kami tidak dapat memberikan anda kepastian tentang punca pendarahan anda kerana kami memerlukan maklumat tambahan dan pemeriksaan fizikal. Namun, secara umumnya, pendarahan selepas hubungan seksual boleh berlaku kerana :
- Faraj yang kering yang boleh menyebabkan luka ketika hubungan seksual
- Jangkitan kuman pada sistem reproduktif
- Penyakit radang pelvis
- Polip serviks
- Ketumbuhan pada serviks
Ada juga kemungkinan bahawa pendarahan tersebut adalah pendarahan haid. Kami menyarankan anda untuk merujuk perkara ini kepada doktor untuk mengetahui punca sebenar masalah anda serta rawatannya. Anda boleh mendapatkan konsultasi peribadi secara atas talian bersama doktor kami supaya kami dapat membantu anda dengan lebih lanjut.
Kami berharap jawapan ini dapat membantu anda.
Terima kasih.