
Sulit
3 tahun
Haid tidak teratur dan keputihan keluar kerap
Saya wanita berusia 18 tahun.kitaran haid saya tidak teratur,kalau campur hari ini,saya sudah 2 bulan tidak haid.haid saya memang tidak teratur sejak awal haid lagi (12 tahun). kebelakangan ini,keputihan kerap keluar dan berbau.adakah itu normal? dan apakah ubat yang disarankan untuk saya?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Hai, terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang anda hadapi. Untuk makluman anda, secara umum, gejala haid seperti yang anda perihalkan boleh berpunca daripada pelbagai perkara. Antaranya:
- Gangguan stress
- Hormon yang tidak stabil (kerana ubat-ubatan atau gangguan penyakit)
- Penyusutan atau peningkatan berat badan yang mendadak
- Penggunaan ubat tertentu
- Senaman yang tidak mematuhi garis panduan
- Masalah organ wanita - sindrom ovary polycystic (PCOS) atau masalah tiroid
- Penebalan atau polip pada lapisan rahim dan fibroid rahim
- Kontraseptif hormon: Pil kontraseptif atau IUCD
Untuk makluman anda, walaupun keputihan merupakan fenomena normal yang sering berlaku keatas wanita, namun ia juga boleh menjadi petanda kepada pelbagai penyakit. Bagi memudahkan pemahaman, keputihan boleh dicerakinkan kepada dua klasifikasi besar iaitu keputihan yang berlaku disebabkan fisiologi normal badan ataupun berpunca daripada sakit penyakit atau juga dikenali sebagai patologik.
- Keputihan fisiologi
Keputihan fisiologi selalunya hadir pada ketika wanita itu sedang subur ataupun sebelum datang haid. Bagi keputihan normal, kelazimannya ia berwarna putih atau krim dan ada kalanya berlendir. Namun, lendir bagi keputihan fisiologi bersifat cair, tidak melekat, tidak berbau dan dalam kuantiti yang sedikit. Jika perkara yang sebaliknya berlaku, ia berkemungkinan merupakan keputihan patologik.
- Keputihan patologik
Bertentangan dengan ciri-ciri keputihan fisiologi, keputihan patologik kebiasaannya berwarna kuning, hijau dan ada kalanya berwarna kelabu mengikut jenis patologi atau penyakit yang berlaku. Keputihan patologik berlaku pada ketika seseorang itu mengalami jangkitan atau keradangan. Ciri tambahan yang ada pada keputihan patologik ialah ia selalunya menyebabkan pesakit mengalami kegatalan pada kawasan kemaluan. Permukaan kulit pada faraj pesakit juga akan kelihatan kemerah-merahan dan berbintik. Bagi keputihan jenis ini pula, tekstur lendir yang dikeluarkan terasa melekat dan berbau. Keputihan patologik memerlukan rawatan yang terperinci kerana ia menandakan bahawa seseorang itu mengalami penyakit.
Terdapat beberapa punca keputihan patologik, antaranya ialah:
- jangkitan kuman (parasit, bakteria dan yis)
- ketidaksemibangan hormon
- masalah kesihatan
- gaya hidup yang tidak sihat
Tempuhi waktu datang bulan anda dengan selesa
Untuk mengetahui punca sebenar dan rawatan yang tepat terhadap masalah yang anda hadapi, maklumat tambahan dan pemeriksaan susulan adalah diperlukan sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk perkara ini lebih lanjut kepada doktor.
Sila klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor kami secara peribadi bagi mendapatkan penerangan dan nasihat yang anda perlukan. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih
Anda masih risau tentang haid tidak teratur? Pakar sakit puan (Gynaecologist) boleh membantu!