Sulit
4 tahun
Nafas pendek, sakit dada & sakit badan adakah simptom covid 19
Saya berusia 36 tahun. Pada bulan puasa saya ada alami masalah tidak puas untuk bernafas (nafas pendek) & sakit dada. Saya telah berjumpa doktor di klinik dan doktor sahkan saya mengalami gastrik (angin gastrik naik ke atas). Saya diberi ubat gastrik & antibiotik. Dalam 5hari keadaan saya baik. Sekarang saya mengalami masalah yang sama tetapi agak terok dimana nafas saya pendek, sakit dada, sakit di bahagian tengkok belakang dan belakang badan. Adakah saya mengalami masalah yang sama (gastrik) atau sebab lain? Risau dengan masalah covid 19 yang semakin kritikal sekarang kerana salah satu simptomnya adalah susah untuk bernafas dan sakit badan.
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Umum mengetahui mengenai wabak COVID-19 yang masih belum berakhir, justeru kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang anda hadapi. Sebagai makluman awal, gejala yang dialami oleh seseorang individu ke individu yang lain adalah berbeza. Tiada corak tetap yang boleh menunjukkan bahawa gejala yang dialami pasti disebabkan oleh COVID-19. Menurut WHO, simptom-simptom COVID-19 yang lebih lazim dilaporkan ialah:
- Demam (lebih daripada 37.5 darjah celsius)
- Keletihan
- Batuk
- Lenguh dan sakit sendi
- Sakit tekak
- Sakit kepala
- Kesukaran bernafas
- Hilang deria bau
Walaubagaimanapun, sukar untuk menentukan adakah ianya jangkitan covid atau masalah lain yang boleh menyebabkan gejala sama seperti yang tertera dengan hanya menilai simptom sahaja. Oleh itu, penilaian risiko hendaklah dilakukan bagi membantu pakar perubatan membuat keputusan.
Justeru, anda digalakkan agar melakukan ujian penilaian risiko COVID-19 untuk menilai status kesihatan anda berkenaan dengan wabak ini.
Melalui ujian ini anda akan dikelaskan kepada beberapa kategori dan ikuti nasihat yang tertera di penghujung kuiz untuk langkah seterusnya.
Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dengan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.
Untuk makluman anda, menurut KKM, kumpulan yang wajib membuat ujian saringan ( swab test ) adalah kontak rapat dan mereka yang mempunyai gejala. Kontak rapat COVID-19 adalah mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan SATU meter dengan kes yang telah DISAHKAN POSITIF.
Menurut KKM juga, kontak rapat adalah dikategorikan kepada kumpulan berikut:
- Pendedahan daripada penjagaan kesihatan, seperti petugas kesihatan yang mengendalikan kes Covid-19 tanpa kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) sewajarnya, pelawat, dan pesakit di dalam wad sama dengan pesakit Covid-19.
- Orang yang bekerja bersama pesakit Covid-19 dalam persekitaran yang rapat, atau berkongsi bilik kelas dengannya.
- Orang yang membuat perjalanan bersama pesakit Covid-19 dalam apa jenis pengangkutan pun.
- Orang yang tinggal dalam rumah yang sama dengan pesakit Covid-19.
Anda juga boleh mengklik pautan ini untuk meminta secara langsung ujian saringan COVID-19 . Atau hubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis ( CPRC ).
Talian CPRC:
0388810200
+60178429454
[email protected]
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Jika anda mempunyai keraguan, kami nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih tepat. Anda juga boleh klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor pakar kami secara peribadi. Terima kasih

Sila layari https://covid-19.moh.gov.my/ untuk maklumat terkini dan garis panduan tentang COVID-19 dan Vaksinasi COVID-19
Untuk Membuat Janji Temu Vaksinasi COVID-19 Di Klinik Swasta, Klik Di Sini
Untuk Menempah Ujian PCR/Ujian RTK COVID-19, Klik Di Sini

































