
Anonymous
6 tahun
Adakah saya ini berisiko mendapat HIV?
Saya pernah melakukan seks dgn seorang pelayan komersial. Dia mengatakan bahawa dia bersih dari apa apa dan selalu membuat appointment dengan doktor setiap bulan. Adakah saya berisiko mendapat hiv kerana melakukan seks tanpa kondom?

6 tahun
Salam. Terima kasih kerana sudi berkongsi masalah yang anda hadapi dengan kami.
HIV berjangkit melalui cecair badan seperti darah, air mani, lender faraj dan susu ibu. Oleh itu, seseorang mungkin dijangkiti virus ini melalui hubungan kelamin, perkongsian jarum, transfusi darah serta ibu kepada anak semasa ibu yang dijangkiti HIV mengandung, melahirkan anak atau menyusu. Golongan yang berisiko tinggi menghidapi peyakit ini termasuklah mereka yang mengamalkan seks berisiko tinggi atau seks tanpa perlindungan dan pengguna dadah yang berkongsi jarum.
Kondom merupakan salah satu pencegah kehamilan yang juga berfungsi sebagai pencegah penyakit kelamin. Hal ini kerana penggunaan kondom mengurangkan pendedahan terhadap cecair badan. Oleh itu, seks tanpa kondom memang menigkatkan risiko jangkitan HIV.
Anda digalakkan mendapatkan ujian darah HIV secepat mungkin untuk mengetahui status jangkitan anda. Ujian darah untuk diagnosis HIV selalunya berfungsi dengan pengenalpastian antibodi terhadap HIV.
Seseorang yang terdedah terhadap HIV sebenarnya digalakkan untuk mendapatkan post-exposure prophylaxis (PEP). Pesakit yang menerima terapi ini akan mengambil ubat HIV (ART) dalam 72 jam selepas pendedahan selama 28 hari untuk mengurangkan risiko jangkitan. Pada masa yang sama, anda digalakkan mengelakkan seks tanpa perlindungan dan seks berisiko tinggi seberapa banyak yang mungkin. Sekian, harap membantu.

6 tahun
Terima kasih kerana bertanyakan soalan ini.
Hubungan kelamin yang tidak dilindungi oleh kondom bersama individu yang telah dijangkiti adalah antara cara utama untuk mendapat jangkitan HIV ini. Hubungan melalui dubur mempunyai risiko yang paling tinggi, diikuti oleh faraj dan seterusnya oral. Selain itu, berkongsi jarum suntikan bagi penagih dadah juga boleh menjadi punca. Pemindahan darah dan organ yang telah dicemari virus ini adalah antara punca lain walaupun keadaan ini amat jarang untuk berlaku pada masa sekarang. Di samping itu, ibu yang dijangkiti oleh HIV boleh merebakkannya kepada bayi semasa dalam kandungan ataupun sewaktu menyusu.
Untuk menjawab soalan anda, hubungan seks tanpa kondom dengan pelayan komersial boleh menjadi suatu risiko untuk berlakunya jangkitan HIV. Adalah lebih selamat untuk anda segera berjumpa dengan doktor di klinik atau hospital yang menawarkan ujian HIV ini. Perkara ini penting agar kemungkinan untuk anda mendapat penyakit ini dipastikan.