
Asila
6 tahun
Apakah sebab kaki bengkak pada pesakit kencing manis?
Doktor, saya nak tanya tentang kaki bengkak untuk pesakit kencing manis . Adakah ianya daripada kegagalan buah pingang ?

6 tahun
Salam sejahtera.
Pesakit diabetes memang mempunyai risiko mendapat penyakit buah pinggang (diabetic nephropathy) yang boleh menyebabkan bengkak kaki. Walau bagaimanapun, kita harus sedar bahawa terdapat pelbagai masalah yang boleh menyebabkan bengkak kaki dan ia bergantung kepada sama ada kedua-dua belah kaki atau sebelah kaki sahaja terlibat.
Contoh sebab-sebab berlakunya bengkak kedua-dua belah kaki termasuk:
- Kegagalan jantung, kardiomiopati (masalah otot jantung), pericarditis (keradangan tisu jantung)
- Cirrhosis (hati berparut)
- Kegagalan buah pinggang akut, penyakit buah pinggang kronik, sindrom nefrotik (kerosakan sistem penapisan buah pinggang)
- Ubat-ubatan preskripsi, seperti ubat antidiabetik dan ubat tekanan darah tinggi
- Penyakit vena kronik dan masalah urat varikos
- Lymphedema (penyumbatan sistem kelenjar limfa)
- Kehamilan
- Berat badan berlebihan, tidak aktif, duduk atau berdiri untuk waktu yang lama
Sekiranya bengkak itu adalah di sebelah kaki sahaja, sebab-sebab lain yang perlu dipertimbangkan termasuk:
- Jangkitan kuman (Cellulitis)
- Trombosis urat dalam (DVT)
- Keradangan dalam tisu kaki akibat kecederaan atau penyakit lain (eg: gout, osteoarthritis atau artritis reumatoid)
Ingat bahawa bengkak kaki dianggap sebagai kes kecemasan sekiranya terdapat tanda-tanda lain seperti sakit dada, kesukaran bernafas, pengsan atau pening dan batuk darah.
Seseorang yang mempunyai bengkak kaki patut melawat doktor untuk diperiksa. Sekiranya anda risau tentang penyakit buah pinggang, saringan boleh dibuat melalui ujian air kencing dan ujian darah untuk melihat fungsi buah pinggang.