
Sulit
3 tahun
Baby mengeras 36minggu
saya tengah hamil 36minggu… Minggu lepas semasa saya 35minggu saya admit hospital sebab ada “show” doktor cakap kepala baby sudah engage. D sebabkan saya belum ada tanda pembukaan cm doktor suruh balik.
So, saya sekarang tengah baby mengeras dalam 10minit ada 3 kali + rasa sakit mengeras dan baby aktif lepastu.
Persoalan saya, Adakah ini tanda2 melahirkan?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam sejahtera,
Terima kasih atas soalan anda.
Berdasarkan pertanyaan anda di atas, saya memahami bahawa anda berasa bimbang tentang masalah anda. Saya akan cuba untuk membantu anda.
Untuk makluman anda, terdapat beberapa tanda-tanda melahirkan. Antaranya adalah:
- Kepala bayi telah turun ke dalam pelvis
Kebiasaannya, doktor akan memeriksa kedudukan kepala bayi ke dalam pelvis beberapa minggu sebelum bayi dilahirkan. Ibu hamil akan berasa lebih mudah untuk bernafas kerana kurang tekanan pada otot yang memisahkan paru-paru dan organ di abdomen iaitu Diagrafma.
- Penghasilan bendalir (Mucus plag)
Penghasilan bendalir ini adalah merupakan salah satu gejala awal kelahiran. Cecair ini dihasilkan di serviks dan ia berfungsi untuk melindungi serviks daripada jangkitan kuman. Apabila kepala bayi mencecah serviks, bendalir bersama-sama darah dirembes keluar memberi gejala awal kelahiran ini.
- Sakit belakang
Ibu hamil mengalami sakit punggung, perut dan bahagian belakang kerana bayi telah menurun hingga ke pelvis menyebabkan ketegangan pada ligamen dan otot rahim.
- Letih dan lesu
Ibu hamil akan menjadi lebih mudah letih. Antara punca kepada keletihan yang berlebihan adalah disebabkan kesukaran bernafas seperti sesak nafas yang kerap dialami sewaktu berjalan.
- Kerap ke andas untuk membuang air kecil
Kepala bayi dalam kandungan telah memenuhi ruang pelvis sehingga memberi tekanan kepada pundi kencing.
- Pecah air ketuban
Bayi dalam kandungan dilindungi lapisan amnion yang mengandungi cecair jernih. Apabila bayi bakal dilahirkan, lapisan tersebut akan pecah sehingga menyebabkan ibu hamil mengalami gejala seperti mengeluarkan air jernih melalui faraj. Apabila hal ini berlaku, proses bersalin kebiasaannya akan bermula. Jika kelahiran tidak berlaku, doktor akan menjalankan induksi bagi memudahkan proses bersalin untuk bermula. Hal ini kerana, terdapat risiko jangkitan kuman pada struktur rahim, serviks apabila lapisan ini pecah. Jika anda mengalami gejala seperti pecah air ketuban dan kontraksi , terdapat kebarangkalian bahawa anda akan melahirkan bayi dalam masa yang terdekat.
- Kontraksi
Apabila wanita hamil mengalami kontraksi yang kerap, hal ini merupakan penanda kepada bayi sedang dilahirkan. Kontraksi tersebut hendaklah lebih kerap, diselangi kurang daripada 10 minit, dan menyebabkan kesakitan yang berlipat kali ganda jika tiada sebarang pengambilan ubat tahan sakit. Kontraksi membantu dilatasi serviks dan menyumbang kepada penipisan bibir serviks bagi membuka ruang untuk melahirkan bayi.
- Pendarahan
Sesetengah pendarahan boleh disebabkan oleh masalah berbahaya seperti uri dia bahagian bawah rahim atau menutup serviks, uri yang terkeluar sebelum bayi dalam kandungan, kedudukan darah di tali pusat yang terdedah dan rahim yang telah pecah. Walaubagaimanapun, ia juga boleh menjadi gejala sewaktu diambang kelahiran bayi lebih-lebih lagi setelah bayi menghampiri pintu pelvik.
Oleh itu, saya menyarankan anda supaya merujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan yang tepat. Anda boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapat maklumat serta rawatan yang lebih lanjut.
Saya berharap agar jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.
Klik di sini untuk bercakap dengan doktor.