
Anonymous
6 tahun
Berapa lama simptom HIV akan dikesan lepas buat aktivti berisiko?
Hi saya nak tanya berkenaan virus hiv
3tahun lepas saya telah melanggan pelacur dan membuat sex menggunakan condom tetapi dia menghisap kemaluan saya tanpa kondom . Adakah saya dijangkiti ?
Berapalamakah simtom hiv akan dikesan selepas melakukan aktiviti berisiko ?
Sebab saya sekarang risau kerana tangan saya ada bintik bintik merah setelah 3 tahun lepas hanya sekali sahaja melakukan aktiviti berisiko tersebut
Harap doctor dapat membantu

6 tahun
Salam sejahtera.
Risiko jangkitan HIV melalui hubungan seks oral adalah dianggap rendah tetapi tahap risiko sebenar adalah sukar diketahui kerana ramai yang melakukan hubungan seks oral juga melakukan hubungan seks melalui dubur atau faraj. Walaupun risiko penularan HIV melalui seks oral adalah rendah, faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko penularan HIV termasuk luka di mulut serta zakar atau faraj dan gusi berdarah. Bagi pengetahuan saudara juga, walaupun anda telah menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks, masih terdapat risiko kecil anda boleh dijangkiti HIV.
Dalam peringkat awal jangkitan HIV seseorang mungkin mengalami simptom-simptom serupa selesema seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, kelenjar limfa membengkak dan ruam merah yang tidak gatal. Simptom-simptom awal ini boleh muncul 1-4 minggu selepas seseorang dijangkiti HIV dan mungkin akan berlangsung selama 1-2 minggu sebelum hilang sepenuhnya. Peringkat kedua pula merupakan tempoh di mana kebanyakan orang tidak mengalami apa-apa simptom dan ini boleh berlangsung selama >10 tahun.
Buat masa sekarang, saudara patut mengunjungi doktor untuk diperiksa dan diuji. Walaupun bintik-bintik merah anda boleh disebabkan jangkitan HIV, terdapat pelbagai sebab lain yang juga boleh menyebabkan ruam. Untuk mengesahkan sama ada anda mempunyai jangkitan HIV, ujian darah perlu dijalankan terlebih dahulu.

6 tahun
Hai. Salam sejahtera dan terima kasih kerana bertanyakan soalan ini.
Selepas terdedah kepada virus HIV, simptom-simptom jangkitan awal akan mula muncul dalam masa 2 hingga ke 6 minggu. Demam, sakit kepala, sakit tekak, batuk dan sakit badan adalah antara gejala yang boleh didapati kepada individu yang terlibat. Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah pesakit yang tidak mempunyai simptom-simptom seperti yang telah diterangkan di atas setelah mereka dijangkiti.
Bintik-bintik merah pada tangan selepas 3 tahun melakukan aktiviti berisiko tersebut boleh menjadi antara tanda jangkitan namun kebarangkaliannya adalah sangat rendah. Untuk memastikan perkara ini, adalah dinasihatkan untuk anda melakukan ujian saringan HIV di mana-mana klinik kesihatan atau hospital.