
Sulit
4 tahun
Bibir dalam vagina gatal
saya wanita berumur 20 an, saya mengalami bibir dalam vagina gatal…malahan terasa berbiji dibahagian tersebut… adakah itu normal atau bukan? mohon penjelasan
terima kasih

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Hai! Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan doktor.
Kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang anda hadapi iaitu kegatalan pada kemaluan dan terasa berbiji. Untuk makluman anda, masalah ini boleh disebabkan oleh pelbagai kondisi kesihatan,antaranya ialah:
- Jangkitan kulat
- Untuk wanita, penyebab kepada gatal-gatal alat kelamin adalah kerana jangkitan kulat yang dikenali sebagai ‘thrush’. Lebih separuh daripada kaum wanita mendapat ‘vaginal thrush’ pada waktu tertentu dalam kehidupan mereka. Ia disebabkan oleh jangkitan yis jamur yang dipanggil Candida Albicans.
- Organisma ini hidup pada kulit di sekitar faraj atau vagina dan biasanya tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, kulat boleh membiak dengan sangat cepat, terutamanya jika kawasan itu hangat dan lembap. Apabila ini berlaku, kulat mungkin masuk ke dalam vagina dan menyebabkan gejala seperti gatal-gatal.
- Gatal-gatal di bahagian vulva
‘Pruritis vulvae’ sering disebabkan oleh tahap estrogen yang lebih rendah semasa menopaus, yang menyebabkan kulit vulva menjadi kering dan nipis. Ini boleh menyebabkan gatal-gatal, kesakitan dan terasa panas di bahagian kemaluan.
- Iritasi kulit
Gatal kemaluan boleh disebabkan apabila seseorang terdedah kepada perengsa atau alergen, di mana kulit di sekitar kemaluan dan pangkal paha akan mengalami inflamasi. Orang yang mempunyai kulit sensitif mungkin bertindak balas terhadap:
- Sabun yang wangi, losyen, minyak wangi
- Serbuk pencuci pakaian, peluntur kain, pelembut kain, pewarna kain
- Produk feminin seperti semburan kebersihan vagina atau ‘douch’, pad haid, krim vagina
- Pakaian ketat seperti seluar jeans,seluar nilon yang ketat, serat sintetik
- Terdedah kepada sarung tangan getah, tisu tandas, kondom,
- Keadaan kulit
- Psoriasis
- Ekzema
- Lichen simplex chronicus.
Keadaan-keadaan kulit ini selalunya akan memberi kesan terhadap bahagian-bahagian lain di tubuh badan, bukan hanya alat kelamin.
- Jangkitan seksual (sexually transmitted infection – STI )
Gatal di kemaluan boleh disebabkan oleh beberapa jangkitan yang merebak melalui hubungan seksual atau sentuhan kulit. Antaranya termasuklah:
Herpes genital - ini jangkitan seksual yang sangat menular (STI) yang disebabkan oleh jangkitan daripada virus herpes simplex. Ia mencetuskan gejala seperti:
Gatal di kemaluan
Sakit-sakit dan lepuh di kemaluan
Demam
Tidak ada ubat yang sesuai untuk herpes genital. Sesetengah orang mendapati gatal-gatal alat kelamin yang disebabkan oleh herpes adalah sangat teruk.
Gatal dapat membuatkan keadaan menjadi lebih teruk dan berisiko untuk mendapat jangkitan dan menjangkiti orang lain.
Kebiasaannya doktor akan mengesyorkan ubat penghilang rasa sakit dan ubat antiviral, terutamanya semasa wabak pertama.
‘Trichomoniasis’ - gatal-gatal di bahagian kemaluan adalah simptom utama bagi penyakit ini yang disebabkan oleh jangkitan parasit. Kebanyakan orang tidak mempunyai gejala dan tidak tahu bahawa mereka dijangkiti. Ia lebih biasa berlaku dalam kalangan wanita, terutama wanita yang lebih tua.
‘Bacterial vaginosis’ - Ini adalah keadaan yang boleh menyebabkan kegatalan alat kelamin pada wanita. Ia terjadi apabila terlalu banyak bakteria tertentu menjejaskan keseimbangan di dalam vagina. Secara teknikalnya tidak dikelaskan sebagai STI tetapi risiko untuk anda mendapatnya lebih tinggi jika anda aktif secara seksual. Kira-kira separuh daripada wanita yang mengalaminya tidak mempunyai gejala.
Jalinkan hubungan mesra yang bebas jangkitan.
Kudis buta
Jangkitan kutu di bahagian kemaluan(‘pubic lice’)
Diabetes/ kencing manis
Menopaus
Kanser – kanser vulva, kanser vagina
Untuk mengetahui punca sebenar masalah yang anda hadapi, maklumat dan pemeriksaan lanjut adalah diperlukan. Jawapan ini hanyalah keterangan am tentang hal ini, kerana untuk mendapatkan diagnosis yang tepat perlulah membuat pemeriksaan dengan teliti. Saya nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor berdekatan untuk mendapatkan kesimpulan yang sempurna. Anda juga boleh klik di link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor pakar kami secara peribadi di atas talian untuk mendapatkan maklumat selanjutnya. Terima kasih
Kekal bebas daripada jangkitan penyakit kelamin. Dapatkan nasihat Pakar dengan segera.