
Sulit
4 tahun
Darah tinggi pada usia 20tahun
Hi selamat sejahtera doctor, saya nak bertanya tentang bagaimana utk menurunkan tekanan darah ke paras normal krn bacaan tekanan darah saya tinggi setiap kali bacaan diambil. Adakah ini berbahaya utk umur saya?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall)untuk bercakap dengan pihak kami.
Darah tinggi boleh berlaku pada umur yang muda juga. Makin ramai orang muda yang mengalami masalah darah tinggi sekarang. Ini adalah disebabkan oleh faktor-faktor seperti pemakanan tidak sihat, cara hidup tidak aktif, merokok, obesiti, pengambilan arak yang berlebihan, stres, sejarah keluarga dan kolesterol tinggi.
Darah tinggi yang disebabkan oleh faktor-faktor ini boleh dicegah melalui gaya hidup yang sihat. Pertama sekali, makan secara sihat. Kurangkan pengambilan lemak tepu, lemak trans, gula dan garam. Tingkatkan pengambilan serat. Seterusnya, lakukan aktiviti fizikal ringan hingga sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu ataupun aktiviti yang berintensiti tinggi 20 minit 3 kali seminggu, seperti berjalan laju, berbasikal, dan berenang.
Anda juga harus mengekalkan berat badan yang ideal. Obesiti boleh meningkatkan risiko darah tinggi dan komplikasi lain. Penurunan berat badan yang disyorkan pada peringkat permulaan adalah sebanyak 10% daripada berat badan asal dalam tempoh 6 bulan. Bukan itu sahaja, sekiranya anda merokok, anda boleh berhenti dengan kaedah-kaedah seperti terapi gantian nikotin, dapatkan sokongan dan menjauhkan diri dari tempat orang merokok. Selain itu, tangani stres, dapatkan tidur yang cukup, dan buat pemeriksaan perubatan secara berkala. Pastikan paras gula darah, kolesterol dan tekanan darah tinggi terkawal.
Sekiranya darah tinggi disebabkan oleh obesiti, tekanan darah boleh dikawal melalui kawalan pemakanan dan senaman secara berkala. Jika darah tinggi disebabkan oleh penyakit lain, doktor akan memberi rawatan yang sepatutnya dan tekanan darah akan turun semula.
Untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor. Klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.