
Anonymous
5 tahun
Kegatalan kulit yang teruk
Saya wanita berumur 24 tahun dan saya telah mengalami masalah kulit yang kegatalan hampir 5 tahun jika saya mengambil makanan seperti seafood, dan yang paling teruk saya tidak boleh menjamah langsung ayam, telur, dan apa sahaja yang berkaitan dengan telur. Jika saya mengambil makanan tersebut saya akan mengalami kegatalan kulit yang agak teruk bermula dengan kudis yang timbul dan jika ianya digaru akan menyebabkan lebih gatal dan kadangkala berdarah.
Ia tumbuh di atas tapak kaki betis, peha, belakang badan dan lengan. Apa saja krim tidak membantu begitu juga dengan pil. 5 tahun ini saya asyik berulang alik dari klinik untuk mendapatkan suntikan untuk meredakan masalah ini.
Dan jika saya melanggar pantang dan makan makanan yang saya sebutkan di atas, saya akan ke klinik lagi. Untuk pengetahuan doktor, makanan seperti nasi goreng, mee goreng, apa jenis kek, dan juga sosej dan yang serupa dengannya pun saya tidak boleh makan kerana ada telur. Jadi saya ingin tahu apa masalah yang saya hadapi ini.
Doktor yang pernah merawat saya hanya berkata saya tidak boleh makan ayam dan menyuruh saya berwaspada untuk tidak makan makanan tersebut. Dan yang paling saya kesalkan saya acapkali menggaru di bahagian yang gatal sehingga berdarah dan pasti akan meninggalkan parut. Saya harap doktor dapat membantu saya dalam hal ini.
Terima kasih.

5 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall)untuk bercakap dengan doktor.
Berdasarkan keterangan anda, anda mempunyai allergi atau alahan yang teruk terhadap beberapa jenis makanan. Sememangnya terdapat segelintir masyarakat yang mengalami masalah ini dimana tubuh mereka bertindak balas dengan mengeluarkan bahan kimia yang menyebabkan radang dan kegetalan apabila pesakit mengambil bahan atau makanan tertentu. Biasanya masalah ini dirawat dengan mengelakkan bahan atau makanan yang mencetuskan alahan atau allergi tersebut.
Namun begitu, kami memahami masalah anda adalah lebih serius kerana terdapat banyak makanan yang mengandungi bahan-bahan ini. Radang dan kegatalan biasanya boleh dilegakan dengan krim atau tablet anti histamin atau steroid. Namun keperluan dan kesesuaian pengambilan bahan ini haruslah diteliti terlebih dahulu kerana ia juga boleh memberikan kesan sampingan.
Anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada pakar kulit atau pakar immunologi bagi mendapatkan rawatan yang sesuai memandangan masalah ini mengganggu kehidupan harian anda.
Untuk membuat kesimpulan tentang punca masalah yang anda hadapi dan mendapatkan rawatan yang sesuai, sila rujuk kepada doktor kami secara peribadi melalui atas talian. Klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan doktor bertauliah kami. Terima kasih