
Sulit
4 tahun
Keluar darah selepas habis haid, upt positif tetapi kabur
Saya wanita 26 tahun. Saya telah period 8/9 - 13/9 setelah lewat 2 hari. Pada 12&13 hb 9, darah haid saya hanya sedikit. Tetapi pada 14 hb 9, saya telah sakit perut pada waktu pagi dan keluar darah tapi hanya spotting. Berulang pada 15/9, 19/9 dan 20/9. Saya ada check UPT pada 17/9 dan 18/9, ianya menunjukkan positif tetapi kabur. Bolehkah saya hamil setelah habis period? Apakah punca keluar darah? Kitaran haid saya adalah 21 hari.

4 tahun
Salam sejahtera dan terima kasih atas soalan yang diajukan.
Kami menghargai anda bertanya kepada kami walaupun soalan anda berunsur peribadi dan sensitif. Oleh itu, kami akan berusaha sedaya upaya untuk menjawab semua soalan anda berdasarkan fakta yang tepat.
Kami memahami kebimbangan anda terhadap ujian kehamilan yang anda lakukan. Ujian kehamilan anda menunjukkan keputusan double line namun anda ragu ragu jika keputusan itu benar benar tepat atau mungkin terjadi akibat perkara lain kerana kelihatan kabur.
Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan keputusan double line seperti:
- Fibroid pada rahim
- Parut pada rahim
- Struktur rahim yang abnormal
- Hamil luar rahim (Kehamilan ektopik)
- Anda menggunakan kit ujian kehamilan dengan tidak tepat
- Terdapat masalah pada kit ujian kehamilan
- Ubat-ubatan seperti Clomid, Pergonal, Humegon, Repronex
Untuk makluman pihak anda, spotting yang anda alami pada tarikh yang telah dinyatakan boleh disebabkan oleh banyak perkara, antaranya:
- Pendarahan implantasi kehamilan
- Pengambilan pil perancang kehamilan boleh menyebabkan spotting
- Sesetengah wanita mengalami spotting sewaktu ovulasi
- Perubahan hormon akibat perkara seperti gangguan emosi, tekanan, aktiviti harian yang sibuk dan kegiatan lasak
- Terdapat ketumbuhan polip atau fibroid di dalam rahim
Spotting merupakan pendarahan secara minima seperti titisan darah sahaja pada seluar dalam atau pantyliner ataupun semasa mengelap bahagian kelamin dengan tisu. Spotting berlaku dalam tempoh yang singkat sahaja di luar masa haid yang biasa. Anda harus berjumpa dengan doktor sekiranya spotting didatangi dengan simptom lain seperti:
- haid yang lebih panjang dan banyak
- faraj gatal dan merah
- haid tidak teratur atau lewat
- mual
- sakit semasa kencing atau melakukan hubungan seks
- sakit bahagian ari-ari atau pelvis
- lendiran yang abnormal atau berbau keluar dari faraj
- berat badan bertambah
Oleh itu, anda disarankan untuk menjalani pemeriksaan kehamilan menggunakan imbasan ultrasound sekali lagi. Dapatkan penerangan lebih lanjut dan nasihat atau rawatan yang diperlukan di sini. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.