
Sulit
5 tahun
Kitaran haid tidak menentu dan darah keluar hanya sedikit
Saya individu bujang, mengalami masalah kitaran haid yang tidak menentu sejak kebelakangan ini. Kitaran haid saya pada bulan ini melebihi 38 hari yang mana lebih daripada normal. Kebiasaannya kitaran haid saya paling awal 28hari, paling lewat 31 hari. Namun, bulan ini agak terlalu lewat, dan saya agak risau. Darah Haid saya juga keluar sedikit dan dalam bentuk lendir sahaja. Hal ini membuatkan saya bimbang. Apa yang perlu saya lakukan?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
5 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Berdasarkan keterangan di atas, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang dihadapi. Untuk makluman pihak anda, masalah haid lewat ini boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Antaranya:
Umur- Haid anda boleh berubah-ubah mengikut dari segi tempoh masa dan juga aliran ketika anda masih remaja.
Berat badan dan diet- Berat badan dan kandungan lemak badan boleh menjejaskan haid anda.
Sindrom ovari polikistik / Polycystic ovarian syndrome (PCOS)- Penyakit ini boleh menyebabkan perubahan hormon dalam badan di mana telur telah berhenti matang.
Ubat-ubatan- Sesetengah ubat yang disarankan untuk masalah kesihatan tertentu boleh menganggu kitaran haid. Pil perancangan, pil hormon, ubat sawan, ubat untuk kemurungan adalah antara contoh-contoh ubat yang melambatkan kitaran haid.
Hormon tidak stabil disebabkan stress, tekanan emosi dan jadual harian yang terlalu aktif dan padat
Sekiranya ini kali pertama kitaran haid anda lambat, saya sarankan untuk anda mengawasi dahulu kitaran yang seterusnya. Sekiranya kitaran haid anda masih tidak menentu, anda boleh pergi berjumpa dengan doktor. Hal ini kerana, untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Anda juga boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Terima kasih.