
Sulit
4 tahun
Period lewat tapi ujian kehamilan negatif
Salam doktor…saya puan azi umur 38 tahun…period saya normal sebelum² ni tp lewat pd bulan ni…saya dah buat ujian kehamilan 2x tp keputusannya negatif…yg menjadi kemuskilan ada keluar lendir beserta darah ketika saya kencing tp tidak banyak…hanya ketika kencing shj…
Terima kasih…

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera Puan Azi. Terima kasih kerana menghubungi kami.
Kami memahami kegusaran puan terhadap masalah yang puan sedang hadapi pada masa ini.
Ini hanyalah pandangan kami secara am mengapa anda mengalami masalah sedemikian. Untuk maklumat anda, terdapat beberapa sebab mengapa haid anda lewat. Antaranya:
- Kehamilan (namun begitu keputusan UPT anda negatif tetapi ia tidak menolak kemungkinan anda mengandung dan keadaan ini memerlukan pemeriksaan lanjut dari doktor)
- Umur; Haid anda boleh berubah-ubah mengikut dari segi tempoh masa dan juga aliran ketika anda masih remaja atau menghampiri waktu menopaus.
- Berat badan dan diet - Berat badan dan kandungan lemak badan boleh menjejaskan haid anda.
- Sindrom ovari polisistik / Polycystic ovarian syndrome (PCOS) - Penyakit ini menyebabkan perubahan hormon dalam badan di mana telur telah berhenti matang dan tidak dilepaskan ke tiub Fallopio.
- Ubat-ubatan- Sesetengah ubat yang disarankan untuk masalah kesihatan tertentu boleh menganggu kitaran haid. Pil perancang, pil hormon, ubat sawan, ubat untuk kemurungan adalah antara contoh-contoh ubat yang melambatkan kitaran haid.
- Ketidakstabilan hormon disebabkan stress, tekanan emosi dan jadual harian yang terlalu aktif dan padat
- Anda menyusukan bayi menggunakan susu badan
Tempuhi waktu datang bulan anda dengan selesa tanpa kebocoran.
Untuk menjawab persoalan anda mengapa terdapat lendir dan darah semasa puan membuang air kecil, terdapat beberapa sebab mengapa seperti:
- Jangkitan pada saluran kencing (pundi kencing, uretra atau buah pinggang)
- Kecederaan atau trauma pada saluran kencing anda terutama uretra
Kami sarankan anda berjumpa dengan segera sekiranya anda mempunyai gejala ini:
- Demam
- Sakit ketika membuang air kecil
- Pucat
- Lesu
- Sejuk dan menggigil
Jika anda masih mempunyai keraguan, sila hubungi doktor kami di (DoctorOnCall) untuk mendapatkan penjelasan tentang keadaan anda secara peribadi di atas talian. Terima kasih.