
Sulit
4 tahun
Tekak rasa kejang, batuk, air liur berbuih & semput
Hello doktor,
Saya perempuan berumur 33 tahun.Belum berkahwin. Tinggal di sarikei, sarawak. Permulaannya saya agak sibuk dengan kerja di pejabat, waktu makan tidak teratur dan kerap menahan untuk membuang air kecil sehingga perut terasa senak dan kembung. Setelah itu saya kerap sakit perut dan cepat membuang. Dan tabiat makan saya memang typical malaysian, mesti ada pedas dan kopi adalah wajib.
Saya mengalami demam pada 18hb mac tapi hanyalah panas badan selama lebih kurang 5 hari. Tapi hanya kerap berlaku waktu malam. Saya hanya makan paracetamol.
Saya tiada batuk dan selesema, cuma bibir dan hidung ada rasa agak panas dan kering, perut cepat memulas dan buang air besar selepas makan… semasa mula mula demam saya merasakan perut terasa panas sampai ke dada.kepala tidak sakit tapi ketat rasa dekat kepala sampai ke telinga. Saya juga kerap berkumur dengan air garam untuk mencegah jangkitan kuman, dan juga mencuci hidung. Saya juga hilang selera makan.
Selepas 5 hari demam pun hilang, tapi tekak rasa kejang tidak pasti mengapa adakah disebabkan saya kerap minum air suam atau sebab berkumur air garam. Selera makan beransur kembali selepas hari keenam. Tapi tekak yang kejang membuatkan saya sukar untuk makan.
Selepas demam hilang saya mula terasa semput. Seakan ada makanan yang tersekat pada kerongkong. Selain itu saya juga kerap sendawa.
Saya telah ke hospital beberapa kali. Kesemuanya disaring covid tapi tiada ujian swab. Kali pertama doktor ada memeriksa tekak saya ianya merah dan hanya diberi ubat demam dan ubat kumur.
Kali kedua saya ke hospital, sebab saya makin kerap cirit birit setiap kali makan, mula berasa semput dan batuk tetapi sikit sikit. Doktor diagnos saya terkena gastrik. Saya diberi ubat Magnesium Trisilicate Mixt. dan ORS untuk beberapa hari.
Selepas seminggu ,cirit birit saya mulai hilang dan bertambah baik tapi tekak saya masih rasa sakit, kejang dan sakit telinga. Jadi saya pergi ke klinik dan diberi antibiotik , paracetamol dan ubat gastrik.
Selepas makan antibiotik, sakit tekak sudah kurang tetapi masih rasa kejang. Air liur makin banyak dan batuk makin kerap. Selera makan hilang balik.
Selepas seminggu, saya pergi lagi ke hospital dan doktor memeriksa tekak saya dan memberitahui ianya ok tiada bengkak. Saya minta untuk di x ray sebab batuk dan semput tapi doktor mengatakan ianya tidak perlu. Saya diberikan ubat batuk dan ubat kumur. Selepas makan ubat batuk, cuma batuk yang berkurangan tetapi tekak masih tiada beza. Saya mula makan strepsil untuk melegakan tekak tapi masih rasa kejang, air liur seakan makin banyak keluar dan berbuih…saya kerap meludah merasakan seakan ada kahak tapi tiada kahak cuma air liur yang berbuih dan berlendir. Saya sukar untuk makan dengan baik dan kerap semput selepas makan. Kadang kala makanan tidak sempat dikunyah sudah tertelan masuk ke tekak… saya jadi takut untuk makan dan kerap rasa lapar.Berat badan juga sudah susut dari 55.6kg ke 52.9kg
Saya takut saya ada masalah pada salur kerongkong dan bukannya anak tekak sebab perasaan yang seakan ada benda menghalang sentiasa ada dan tidak pernah hilang. Saya juga sukar untuk tidur malam dan kerap sakit kepala dan telinga. Sekarang suara saya mula serak dan susah nak bercakap kuat.
Pada pandangan doktor apakah sebenarnya penyakit saya?.adakah ianya tanda penyakit kronik, ketumbuhan atau kanser? Saya risau sebab sudah berlarutan sehingga sebulan tetapi masih tiada perkembangan baik. Saya merasakan agak fobia ke hospital sebab sering diperiksa dan disaring covid dan tiada pemeriksaan yang lebih teliti kerana sekarang lebih fokus kepada kes covid. Terima kasih.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
5 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Berdasarkan keterangan di atas, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang dihadapi. Untuk makluman anda, masalah tekak anda ini boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Antaranya:
- Tonsillitis
- Ketumbuhan dalam tekak
- Radang tekak
- Globus makanan
- Terdapat bahagian yang sempit pada laluan tekak “stricture”
Untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.